Operasi SAR budak jatuh longkang diteruskan

Operasi mencari dan menyelamat turut meliputi kawasan perangkap sampah. Gambar kecil: Mohamad Danish dipercayai terjatuh ke dalam longkang, semalam.
A
A

AMPANG – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang kanak-kanak berusia 9 tahun yang dipercayai terjatuh ke dalam longkang di Taman Bukit Teratai di sini semalam masih diteruskan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, pasukan penyelamat terdiri daripada Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan pihak projek Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (Suke).

“Mangsa masih belum ditemui sehingga petang tadi.

"Jabatan Bomba dan Penyelamat turut menggunakan Pasukan Penyelamat Di Air dan bantuan anjing pengesan K9 manakala pihak Suke turut menggunakan dron bagi membantu operasi mencari mangsa.

"Kita turut mencari mangsa di kawasan perangkap sampah dengan bantuan JPS,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, di sini tadi.

Noor Azmi berkata, dalam kejadian pada jam 6.22 petang semalam, polis menerima panggilan kecemasan daripada ibu mangsa yang memaklumkan anaknya yang dikenali sebagai Mohamad Danish Supri Antony terjatuh ke dalam longkang.

“Siasatan awal mendapati mangsa dikatakan bermain hujan dengan rakannya pada jam 5.45 petang, mangsa bergayut pada besi titian longkang, sebelum terjatuh ke dalam longkang yang dipenuhi air deras dari bukit berdekatan.

"Kawannya cuba menyelamatkan mangsa, namun tidak berjaya,” katanya.

Beliau berkata, gerakan mencari sepanjang longkang juga gagal menemui mangsa.

“Kawasan pencarian turut meliputi Sungai Kerayong dan Sungai Klang,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Budak jatuh longkang hilang dibawa arus deras