'Tubuh kerajaan Melayu, Islam ibarat Myanmar nafi hak Rohingya'

KHALID SAMAD
KHALID SAMAD
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelawaan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan mengajak Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membentuk kerajaan Melayu dan Islam diibaratkan seperti mengiyakan tindakan kerajaan Myanmar menafikan hak kaum pendatang seperti Rohingya.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad berkata, kaum Melayu tidak boleh menjadi bangsa berfikiran sempit dengan cuba menafikan hak kaum lain sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, rakyat negara ini kena mengakui meskipun kaum Cina dan India pada asalnya datang ke negara ini untuk bekerja, namun akhirnya dengan toleransi pemimpin kaum Melayu terdahulu, mereka diterima untuk menjadi rakyat Malaysia.

"Kalau kita buat begitu (nafi hak mereka), kita mengiakan tindakan kerajaan Myanmar terhadap orang Rohingya, mengiakan tindakan Serbia yang bunuh orang Islam negara di Bosnia kerana berketurunan Turki.

"Kalau ungkit cerita seperti ini, apa gunanya? Sedangkan kita sedang bina sebuah negara berteraskan masyarakat majmuk," katanya kepada media di Parlimen hari ini.

Dalam perkembangan lain, Khalid menegaskan, isu melibatkan peralihan jawatan Perdana Menteri dalam Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak perlu diheboh-hebohkan ke khalayak ramai.

Menurutnya, perkara membabitkan tarikh penyerahan jawatan Perdana Menteri disandang Dr Mahathir kepada bakal penyandangnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah isu dalaman PH.

Menurutnya, segala persoalan atau kemusykilan mana-mana pihak dalam PH boleh dibangkitkan melalui mesyuarat Majlis Presiden PH.

Artikel Berkaitan:

"Semua keputusan akan dibuat melalui perbincangan bijaksana antara ketua-ketua parti dalam PH melalui Majlis Presiden PH.

"Jadi, perkara ini tidak perlu diheboh-hebohkan," katanya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN 'Dr Mahathir boleh tubuh kerajaan baharu jika ikhlas' - Tok Mat

Tubuh kerajaan baharu bersama UMNO-Pas: Ini jawab Tun M