KPDNHEP perkukuh strategi risikan

Suhaimi (tengah) ditemui pemberita selepas mengadakan Taklimat Penguatkuasaan Perundangan KPDNHEP di Gerik hari ini.
Suhaimi (tengah) ditemui pemberita selepas mengadakan Taklimat Penguatkuasaan Perundangan KPDNHEP di Gerik hari ini.
A
A
A

GERIK - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjalinkan kerjasama bersama agensi penguatkuasa lain dalam menangani ketirisan barangan kawalan dan sindiket barangan tiruan di kawasan sempadan dan pelabuhan.

Timbalan Pengarah Penguatkuasa (Pencegahan) KPDNHEP Putrajaya, Suhaimi Mat Sari berkata, selain taklimat berkaitan perundangan, pihaknya akan mengadakan pemeriksaan menyeluruh terhadap rantaian pengedaran barang kawalan bersubsidi dan memperkukuhkan strategi risikan.

Menurutnya, antara penguatkuasaan yang terlibat termasuklah Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM), PDRM, Kastam, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Ketirisan berlaku kerana harga barangan kita seperti seperti petrol, minyak masak, gula dan diesel dijual dengan harga murah berbanding di kawasan sempadan hingga mendapat permintaan tinggi.

"Setakat ini di Perak seramai 26 individu telah diambil tindakan berhubung ketirisan barangan kawalan di sempadan. Ada yang telah didakwa dan dikompaun agar menjadi pengajaran kepada mereka yang terlibat dalam kegiatan itu.

"Selain itu pemeriksaan di kawasan perindustrian perlu diberi tumpuan yang melibatkan barangan kawalan seperti gas cecair petroleum (LPG) dan diesel," katanya selepas menyampaikan Taklimat Penguatkuasaan Perundangan bersama 50 pegawai dan anggota berkaitan isu-isu bekalan di kawasan sempadan Perak di sini hari ini.

Suhaimi berkata, pihaknya turut memfokuskan kegiatan penyeludupan barangan tiruan dan cetak rompak di kawasan pelabuhan utama negara.

"Kita mengesyaki barang-barang tiruan diseludup masuk menerusi pelabuhan dan bukannya melalui kapal terbang. Siasatan awal mendapati barangan ini datang dalam kuantiti besar membabitkan pakaian terutama jersi sukan, jam tangan dan arak.

Artikel Berkaitan:

"Justeru, kerjasama dengan pihak Kastam akan diadakan supaya kita dapat menangani isu penjualan barangan tiruan dari awal iaitu di peringkat pelabuhan," katanya.

Katanya, kerjasama itu dapat memperkukuhkan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi membanteras kegiatan tersebut.