Banduan kembali meringkuk dalam penjara

Banduan menutup muka setelah dijatuhi hukuman penjara setahun selepas mengaku salah cuba melarikan diri dari penjara Julai lalu.
Banduan menutup muka setelah dijatuhi hukuman penjara setahun selepas mengaku salah cuba melarikan diri dari penjara Julai lalu.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Seorang lelaki yang menunggu hari untuk dibebaskan pada Jumaat ini terpaksa melupakan saat dinantikan itu kerana kembali meringkuk dalam penjara.

Muhamad Shukri Khalid, 25, terpaksa menerima keputusan itu setelah dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku bersalah cuba melarikan diri dari penjara pada Julai lalu.

Tertuduh yang sebelum ini menjalani hukuman penjara selama lima tahun sejak Jun 2016 setelah didapati bersalah menyebabkan kematian tanpa niat seorang individu lain.

Keputusan itu diputuskan Majistret Muhammad Nazirin Ali Rahim terhadap tertuduh.

Berdasarkan pertuduhan tertuduh yang merupakan tahanan sah mengikut Seksyen 304(B) Kanun Keseksaan didapati melarikan diri daripada pengawasan anggota Penjara Dusun Dato Murad sekitar jam 12.45 tengah hari 18 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau keduanya sekali.

Terdahulu pendakwaan dikendalikan pegawai Pendakwa Timbalan pendakwaraya, Asisten Superintendan Nora Yaacob memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh malah pesalah-pesalah lain untuk tidak sewenang-wenangnya melakukan kesalahan sama.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan dengan alasan dia tidak berniat untuk melarikan diri sebaiknya dia terkenangkan keluarga di rumah lebih lagi ayah yang sedang sakit.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara setahun terhadapnya sebagai pengajaran yang bermula selepas hukumannya sebelum ini berakhir Jumaat ini.

Julai lalu media melaporkan polis berjaya menahan semula seorang banduan lelaki yang melarikan diri dari tahanan Penjara Dusun Dato Murad Ayer Keroh tidak sampai 24 jam ketika dia sedang menjalankan tugas di Kelab Golf Tiara Ayer Keroh.