Ketua kampung perlu profesional

Ismail (kiri) menyaksikan ketua kampung membaca ikrar lantikan ketua kampung dan ketua masyarakat.
Ismail (kiri) menyaksikan ketua kampung membaca ikrar lantikan ketua kampung dan ketua masyarakat.
A
A
A

KLUANG - Semua ketua kampung dan ketua masyarakat di daerah ini diharap dapat menjalankan tugas secara profesional tanpa mengira fahaman politik, kepercayaan agama dan bangsa penduduk di kawasan pentadbiran.

Pegawai Daerah Kluang, Ismail Abu berkata, pihaknya akan sentiasa mengikuti perkembangan semasa berkaitan pentadbiran semua ketua kampung dan ketua masyarakat agar kesejahteraan penduduk terbela dan tidak ketinggalan daripada kemudahan yang disediakan kerajaan.

“Sebagai pemimpin yang paling hampir dengan masyarakat, ketua kampung atau ketua masyarakat perlu peka terhadap kehidupan rakyat miskin, miskin tegar, asnaf serta penghidap penyakit kronik agar bantuan sewajarnya dapat disalurkan bagi membantu golongan ini.

“Perkara utama sekali adalah melibatkan pembangunan infrastruktur di dalam kawasan kampung dan mereka haruslah mengenal pasti keperluan sewajarnya untuk pembangunan kampung agar manfaat itu dapat dinikmati oleh setiap penduduk,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Bacaan Ikrar dan Lantikan Ketua Kampung dan Ketua Masyarakat Daerah Kluang di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Kluang, semalam.

Menurutnya, beliau turut mengharapkan kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan kepada semua ketua kampung dan ketua masyarakat dapat dilaksanakan sebaik-baiknya kerana memberikan identiti serta gambaran pentadbiran kerajaan.

Pada masa sama, seramai 25 ketua kampung baharu sudah mengangkat sumpah pelantikan terdiri daripada 12 ketua kampung, 17 ketua masyarakat Cina serta dua ketua masyarakat kaum India.

“Ini bermakna, semua 37 ketua kampung, 17 ketua masyarakat kaum Cina dan dua ketua masyarakat kaum India telah menerima pelantikan berkuat kuasa 1 Januari 2019 hingga 1 Januari 2020.

Artikel Berkaitan:

“Sekarang hanya tinggal satu jawatan ketua kampung yang belum diisi iaitu di Kampung Seri Desa dan surat tawaran permohonan untuk mengisi jawatan ini akan diiklankan dalam masa terdekat,”katanya.