'Tanah dirampas jika culas bayar cukai'

Wan Rosdy (tiga dari kanan) pada majlis Ukhuwah Tanpa Sempadan di Hotel Grand Darul Makmur di sini malam tadi.
Wan Rosdy (tiga dari kanan) pada majlis Ukhuwah Tanpa Sempadan di Hotel Grand Darul Makmur di sini malam tadi.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang akan merampas tanah haram dan pemilik yang tidak membayar cukai kerana tidak memberi manfaat kepada negeri.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, lebih baik tanah tanah itu diberikan dan diusahakan persatuan anak yatim atau golongan istimewa bagi membantu golongan itu.

Menurutnya, langkah itu lebih tepat dalam pembangunan golongan istimewa berbanding penerokaan haram yang hanya memanfaatkan sebelah pihak sahaja.

"Kerajaan dalam perancangan merampas tanah tanah haram yang tidak mendatangkan hasil kepada negeri. Lebih baik serah kepada persatuan yang menjaga nak yatim dan golongan istimewa.

"Bukan tanah haram sahaja tapi rakyat yang tidak bayar hasil tanah juga boleh dirampas. Kalau tak bayar kita rampas tapi kita harap tak sampai begitu. Kita hantar surat amaran dan peringatan suruh bayar. Buat masa sekarang tak perlu bayar penuh bayarlah seberapa dulu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan kira kira 500 tetamu dalam majlis Ukhuwah Tanpa Sempadan di Hotel Grand Darul Makmur di sini malam tadi.

Dalam program itu anak anak yatim dari Persatuan Kebajikan Anak Yatim (PEKAYA) dan golongan istimewa dari Pusat Dalam Komuniti (PDK) Kuantan dirai dengan jamuan makan malam sambil dihiburkan oleh penyanyi dan penari kalangan mereka.

Hadir sama, Exco Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Wan Rosdy mengumumkan Kerajaan Pahang mencatatkan peningkatan hasil sebanyak RM94 juta sehingga Ogos tahun ini.

Katanya, nilai itu dicapai hasil kesungguhan dan komitmen Kerajaan Pahang dalam meningkatkan pendapatan untuk pembangunan rakyat serta kerajaannya.