Budak 9 tahun dikhuatiri lemas terjatuh longkang

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Taman Bukit Teratai, Ampang semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, Mohamad Danish Supri Antony dipercayai hilang dibawa arus deras.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 6.22 petang.

"Kerja mencari dan menyelamat sedang dijalankan oleh anggota bomba," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Difahamkan semasa kejadian, mangsa bersama-sama beberapa rakannya dalam perjalanan pulang ke rumah dari kelas agama.

Ibu mangsa, Noor Fara Wahida Mohd Noor, 34, ketika ditemui Bernama di rumahnya di Taman Bukit Teratai pagi ini hanya menangis dan tidak mampu untuk bercakap.

Sementara itu, ayah tiri mangsa Isma Wahyumi Zulkifli, 25, berkata, mereka hanya mampu berdoa agar anak bongsu daripada dua beradik itu ditemui secepat mungkin.

Ahli keluarga kanak-kanak itu juga berkumpul di rumah mangsa untuk memberikan sokongan kepada mereka. - Bernama

Artikel Berkaitan: