Pahang kutip RM442 juta hasil dalam tempoh lapan bulan

Wan Rosdy bersama sebahagian MPKK pada Majlis Penutup Seminar Pemantapan Organisasi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Negeri Pahang Tahun 2019 di sebuah resort semalam. - Foto Facebook Kerajaan Pahang
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang merekodkan kutipan hasil RM442 juta dalam tempoh lapan bulan tahun ini bermula Januari hingga Ogos lalu.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia disifatkan pencapaian amat memberangsangkan dengan peningkatan sebanyak RM94.4 juta atau 27 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu iaitu sebanyak RM347 juta.

"Berdasarkan laporan Pejabat Kewangan negeri dan daripada keseluruhan kutipan hasil, RM253 juta adalah daripada hasil tanah, RM54.2 juta hasil hutan, RM1.93 juta hasil air dan hasil-hasil lain ialah RM55.9 juta.

“Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua pegawai-pegawai kerajaan khususnya dari pejabat-pejabat daerah dan tanah kerana giat berusaha untuk meningkatkan kutipan hasil negeri.

"Usaha ini perlu dilipatgandakan supaya sasaran hasil RM703 juta yang ditetapkan untuk tahun ini berjaya dicapai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Perasmian Penutup Seminar Pemantapan Organisasi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Negeri Pahang Tahun 2019 di sebuah resort di Gambang di sini semalam.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Exco Pembangunan Luar Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asli, Datuk Abd Aziz Mat Kiram.

Wan Rosdy dan barisan Exco bergambar bersama peserta Seminar Pemantapan Organisasi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Negeri Pahang Tahun 2019 selepas majlis perasmian penutupnya semalam. - Foto Facebook Kerajaan Pahang
Wan Rosdy dan barisan Exco bergambar bersama peserta Seminar Pemantapan Organisasi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Negeri Pahang Tahun 2019 selepas majlis perasmian penutupnya semalam. - Foto Facebook Kerajaan Pahang

Menurutnya, kerajaan negeri juga sedang memperkasakan syarikat berkaitan kerajaan negeri (S-GLC) bagi menjana keuntungan lebih baik.

"Sehingga Ogos tahun ini, keuntungan keseluruhan yang direkodkan S-GLC kira-kira RM413 juta dan seperti ditetapkan kerajaan negeri, sebahagian daripada keuntungan tersebut akan dipulangkan kembali kepada rakyat.

“Bentuk pemulangan dan peratusannya akan diputuskan melalui perbincangan yang akan diadakan bersama-sama S-GLC ini nanti," katanya.

Wan Rosdy berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi kesemua S-GLC apabila mencatat keuntungan kira-kira RM405 juta untuk 2017 dan 2018.

Sementara itu, katanya seminar yang berjaya menghimpunkan 542 orang pengerusi MPKK termasuk 94 orang penghulu dari 11 daerah di seluruh negeri itu adalah inisiatif kerajaan negeri bagi mengukuhkan hubungan antara pentadbiran peringkat negeri bersama peringkat daerah dan kampung.

"Inisiatif ini juga untuk memastikan rakyat di luar bandar mengetahui segala perancangan yang telah dan sedang dijalankan pentadbiran negeri di pelbagai peringkat dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat bandar dan luar bandar tanpa prasangka politik, kaum dan latar belakang sosioekonomi mereka," katanya.