Orang Melayu perlu jadi bangsa usahawan

Ahmad Maslan - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Ahmad Maslan - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Orang Melayu digesa untuk menjadi bangsa usahawan dan memanfaatkan kelebihan dimiliki kaum Cina dan India yang dilihat lebih berjaya dalam bidang tersebut.

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, di negara ini kira-kira 70 peratus merupakan bumiputera Melayu, sementara 22 peratus lagi adalah kaum Cina, India (tujuh peratus) dan lain-lain satu peratus.

Menurutnya, walaupun kaum Melayu merupakan penduduk majoriti tetapi dilihat masih jauh ketinggalan dalam bidang tersebut.

Katanya, antara 10 orang terkaya di Malaysia, sembilan daripadanya merupakan orang Cina, seorang India tetapi Melayu kosong (tiada).

"Orang Melayu perlu belajar dari kaum Cina bagaimana menjadi usahawan dan juga dari kaum India untuk jadi orang bergaji dan berpendapatan tinggi.

"Paling penting kena cari ilmu, berniagalah dan jadi bangsa usahawan. Kalau boleh berhenti makan gaji dan jadi usahawan," katanya berseloroh ketika sesi Wacana Sinar Siri 132: 'Belanjawan 2020: Apa Rakyat Dapat' di Dewan Karangkraf, Seksyen 15 di sini, malam tadi.

Senarai 10 orang paling kaya di Malaysia pada tahun 2019 adalah Tan Sri Robert Kuok yang berada di tangga pertama, diikuti Tan Sri Quek Leng Chan, Tan Sri Teh Hong Piow, Tan Sri Ananda Krishnan, Tan Sri Lee Shin Ching, Tan Sri Chen Lip Keong, Tan Sri Lim Kok Thay, Tan Sri Lau Cho Kun, Tan Sri Koon Pooh Keong, Poh Ming, Poh Weng dan di tangga ke-10 adalah Kuan Kam Hon.

Artikel Berkaitan: