Ahmad Maslan sifatkan hutang negara satu kegilaan melampau

Ahmad Maslan -Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan Belanjawan 2020 perlu memberi penekanan kepada penyelesaian masalah hutang negara yang didakwa kini mencecah RM810 bilion berbanding sebelum ini sebanyak RM6.86 bilion.

Beliau berkata, dalam tempoh satu tahun lima bulan kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah, berlaku kenaikan ketara jumlah hutang sebanyak RM124 bilion.

"Ini satu kegilaan melampau....Kami perintah 61 tahun hutang 6.86 bilion tapi mereka sudah cecah sehingga RM810 bilion.

"Bukankah mereka kata nak turunkan hutang, kalau turun hutang orang tidak sekolah pun tahu patut jumlahnya berkurangan kepada RM680 bilion atau RM600 bilion umpamanya tapi ini sebaliknya. Tolonglah, selesaikan masalah hutang ini," katanya pada Wacana Sinar Siri 132: 'Belanjawan 2020: Apa Rakyat Dapat' di Dewan Karangkraf, Seksyen 15, di sini malam ini.

Katanya, pada Belanjawan 2019 lalu, kerajaan PH hanya menurunkan nisbah pembayaran hutang sebanyak 10 peratus daripada keseluruhan bajet tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Belanjawan 2020: Kerajaan perlu 'jaga' pengundi M40

"Sepatutnya nisbah pembayaran hutang itu dinaikkan kepada 15 peratus atau mungkin sehingga 20 peratus daripada keseluruhan bajet, baru boleh selesaikan hutang," katanya.

Turut hadir sebagai panel Felo Akademi Sains Malaysia, Dr Madeline Berma, Ketua Penerangan Berjasa, Hazwan Mohamad dan Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi.

Dalam pada itu, Ahmad Maslan juga berharap Belanjawan 2020 tidak hanya menekankan aspek memperkukuh ekonomi semata sebaliknya perlu memberi penekanan mengenai masalah anak muda dalam aspek pekerjaan, menurunkan kos sara hidup, perumahan termasuk untuk meningkatkan harga-harga komoditi.