Rowley idam sarung jersi Harimau Malaya

Rowley memasang impian bergandingan bersama Brendan dalam skuad Harimau Malaya. -Foto: KFA
Rowley memasang impian bergandingan bersama Brendan dalam skuad Harimau Malaya. -Foto: KFA
A
A
A

PEMAIN tengah kacukan Malaysia-Australia, David Rowley berharap dapat mengikut jejak langkah Brendan Gan menyertai skuad Harimau Malaya.

Menurut pemain berusia 29 tahun itu yang kini sedang menikmati kemuncak prestasi bersama Kedah, dia semakin positif dengan prestasinya ketika beraksi di tengah padang.

Rowley berkata, dia menjadikan Brendan sebagai antara pemain idolanya selepas melihat kesukaran tonggak Perak itu bangkit daripada karier ekoran dilanda pelbagai kecederaan serius.

“Gan adalah seorang yang pemain cukup mengagumkan kerana dia telah lalui dua kali pembedahan kecederaan ACL tetapi dia berjaya bangkit serta berada pada tahap prestasi terbaik.

“Dia sering sahaja menjaringkan gol yang cantik bersama Perak dan saya harap boleh bergandingan dengannya dalam skuad kebangsaan yang menjadi impian saya sejak dahulu.

“Malah, pemain-pemain kacukan lain seperti Matthew Davies dan Corbin Ong juga menjadi sumber motivasi saya dalam mengejar cita-cita ini selain kagum dengan kemampuan pemain tempatan lain seperti Safawi Rasid, ” katanya.

Rowley yang dilahirkan di Brisbane, Australia memperoleh kerakyatan pada tahun 2017 dengan ibunya berasal dari Malaysia sementara ayahnya dari England.

Musim lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjadi destinasi pertamanya, namun Rowley gagal mendapat tempat. Pada pertengahan musim, Rowley menyertai Negeri Sembilan, namun dia lebih kerap bertindak selaku pemain gantian.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, dia bersyukur keputusannya berhijrah ke Kelantan pada awal musim ini menjadi titik tolak dalam kariernya apabila jurulatih Kelantan ketika itu, Marko Kraljevic bertindak menukarnya beraksi daripada posisi penyerang kepada bahagian tengah.

“Ketika bersama Kelantan, Marko dapat mengesan kemampuan saya bermain di bahagian tengah yang berperanan membantu pada aspek bertahan dan beliau banyak membantu agar saya cepat sesuaikan diri dengan posisi baharu ini.

“Selepas Marko tidak ada lagi, (penggantinya) Yusri Che Lah juga tidak ketinggalan banyak mengajar saya dan selepas datang ke Kedah, kebetulan pula jurulatih (Aidil Sharin Sahak) bermain di posisi yang sama (tengah) semasa beliau bergelar pemain.

“Beliau banyak memberikan nasihat dan panduan dalam setiap perlawanan dan tanpa mereka semua ini, tidak mungkin saya akan jadi sebegini pada hari ini,” ujarnya.