Tun M wajar kekal sepenggal

Mohamad Ezam Mohd Nor
Mohamad Ezam Mohd Nor
A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan perwakilan dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu agar Tun Dr Mahathir Mohamad terus memegang jawatan Perdana Menteri selama sepenggal adalah wajar.

Pengerusi Hisbah Centre for Reform, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor berkata, ini kerana mandat rakyat pada PRU14 adalah atas keyakinan terhadap Dr Mahathir menyelesaikan masalah negara.

“Blok pembangkang hanya mendapat mandat memerintah setelah Tun Mahathir menerajui pembangkang dan diisytiharkan sebagai calon Perdana Menteri. Sejarah membuktikan cubaan blok pembangkang sebelum ini dan penawaran calon Perdana Menteri selain Tun Mahathir gagal memperolehi mandat rakyat.

“Mandat rakyat itu adalah untuk menyelesaikan masalah negara. Bukan soal tempoh masa jawatan atau pengganti Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, cakap-cakap mengenai tempoh jawatan Perdana Menteri perlu dihentikan kerana tidak relevan dan tidak bertanggungjawab.

“Tumpuan harus kepada membantu Perdana Menteri menyelesaikan masalah negara kerana itulah harapan rakyat.

“Selagi Perdana Menteri ini mampu bekerja selesaikan masalah negara ini dan diberi kuasa oleh ALLAH dan kuasa yang sah mengikut Perlembagaan negara, maka kita harus memberi tumpuan membantu beliau menjalankan kerjanya,” katanya.

Menurut beliau, Perdana Menteri selepas ini juga perlu diangkat berdasarkan asas yang sama.

Artikel Berkaitan:

“Apakah dia mampu dan dilihat mampu selesaikan masalah negara? Atau dilihat mengundang lebih banyak masalah kepada negara? Ini persoalan pokok.

“Bukan soal perjanjian antara individu dan parti sahaja yang harus menjadi asas pilihan. Jawatan Perdana Menteri adalah soal negara, bukan soal individu dan parti,” katanya.