Keangkuhan Foodpanda tak selesai masalah: Syed Saddiq

Ciapan dimuat naik Syed Saddiq di Twitter rasminya malam ini ditujukan kepada foodpanda yang disifatkan sebagai angkuh.
Ciapan dimuat naik Syed Saddiq di Twitter rasminya malam ini ditujukan kepada foodpanda yang disifatkan sebagai angkuh.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan syarikat perkhidmatan penghantaran makanan, Foodpanda Malaysia (foodpanda) sebagai angkuh kerana mengeluarkan kenyataan yang membayangkan mereka tiada masalah jika penunggangnya melancarkan mogok terhadap skim pembayaran baharu.

Beliau berkata, sebagai syarikat korporat, foodpanda dibangunkan oleh pekerja dan pengguna, juga boleh dijatuhkan oleh kedua-duanya.

“Sebagai #Yangberkhidmat, saya dipilih oleh rakyat dan boleh dihukum oleh rakyat. Sebagai korporat, mereka dibangunkan oleh pekerja/pengguna dan boleh dijatuhkan oleh pekerja/pengguna.

“Keangkuhan bukan jalan penyelesaian. Hanya sokong korporat yang adil kepada pekerja dan pengguna.” katanya dalam ciapan terbaharu menerusi akaun Twitter rasminya di sini malam ini.

Beliau memuat naik ciapan tersebut bersama laporan sebuah portal berhubung kenyataan dibuat Pengarah urusan syarikat itu Sayantan Das berkaitan isu mogok oleh penunggang foodpanda.

Dalam laporan berkenaan, Sayantan berkata, penghantar yang tidak mahu bekerja perlu memberikan atau menukarkan syif mereka kepada penghantar lain agar tidak menjejaskan pendapatan mereka.

“Jika anda (penghantar) tidak mahu kerja, tolong berikan atau tukar syif anda kepada penghantar lain kerana anda menjejaskan kehidupan mereka,” katanya dalam sesi taklimat foodpanda di sini hari ini.

Bermula 1 hingga 3 Oktober lalu, penghantar makanan Foodpanda berpakat mengadakan mogok besar-besaran sebagai bantahan mengenai skim baharu yang berkuat kuasa sejak 30 September 2019 di sekitar luar Lembah Klang.

Artikel Berkaitan: