Harga RON95 diapungkan awal tahun depan

Saifuddin ketika bercakap pada sidang media khas pengumuman Program Subsidi Petrol di sini hari ini. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A

PUTRAJAYA - Harga petrol RON95 akan diapungkan bermula awal tahun hadapan berikutan pelaksanaan Program Subsidi Petrol (PSP).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, harga RON95 akan dikekalkan pada kadar RM2.08 sehingga 31 Disember depan.

"Bermula tahun 2020 harga petrol RON95 akan diapungkan secara berperingkat (gradual) sehingga setara dengan harga pasaran," katanya pada sidang media khas pengumuman Program Subsidi Petrol di sini hari ini.

Menurutnya, penduduk di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan kekal menikmati harga RM2.08 kerana dikecualikan PSP.

"Kerajaan mengambil kira keperluan penduduk Sabah, Sarawak dan Labuan yang kebanyakannya menggunakan kenderaan berkapasiti enjin besar dan diesel.

"Oleh itu rakyat di sana dikecualikan daripada PSP dan pengapungan harga jualan runcit petrol RON95," katanya.

Menjawab kebimbangan rakyat terhadap peningkatan harga barangan berikutan perlaksanaan pengapungan harga petrol RON95, Saifuddin berkata, KPDNHEP akan meneruskan tugas kementerian itu melakukan pemantauan.

"KPDNHEP mempunyai 3,000 kakitangan dan 2,300 pegawai pemantau harga di seluruh negara. Kami akan terus meneruskan kerja hakiki kementerian.

"Sekiranya terdapat kenaikan harga tidak munasabah orang awam boleh melaporkan aduan melalui 1800-886-800, aplikasi telefon pintar EzADU atau WhatsApp di talian 019-2794317," katanya.