Kaji kelancaran subsidi petrol bersasar

- Foto Bernama
- Foto Bernama
A
A
A

SERAMAI dua juta rakyat Malaysia terdiri daripada penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) bakal menikmati subsidi petrol bersasar.

Susulan itu, perbelanjaan negara dijangka dijimatkan sehingga RM6 bilion sebaik sahaja program yang memberi fokus kepada golongan berpendapatan rendah (B40) itu mula diperkenal kerajaan.

Namun, sejauh manakah program itu dapat membantu mengurangkan bebanan rakyat khususnya mereka yang miskin tegar dalam mengharungi keadaan ekonomi semasa ketika ini.

Ikuti pandangan Pensyarah Pusat Pengajian Perniagaan dan Pengurusan Maritim, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Roshaiza Taha berkenaan pelaksanaan subsidi petrol bersasar itu.

SINAR HARIAN: Adakah program subsidi petrol bersasar ini berupaya membantu meringankan beban golongan berpendapatan rendah atau B40?

ROSHAIZA: Ya sekiranya belanja petrol merupakan komponen utama perbelanjaan bulanan mereka.

Tetapi kerajaan perlu melihat pelaksanaan ini secara menyeluruh kerana ia melibatkan keseluruhan sistem ekonomi di mana apabila subsidi kepada penerima semasa ditarik balik, ia akan menyebabkan ada kos lain yang akan meningkat.

Kerajaan dikatakan akan membuat bayaran kepada penerima subsidi petrol bersasar secara tunai kepada penerima, adakah mekanisme ini sesuai atau ada kaedah lain yang lebih baik?

Artikel Berkaitan:

ROSHAIZA: Saya berpandangan mekanisme ini sesuai kerana kita dapat mengawal masalah ketirisan sekiranya terlalu banyak peringkat pengurusan sebelum pulangan berbentuk subsidi sampai kepada penerima.

Namun dari segi pelaksanaan mungkin mendatangkan kelewatan dari segi proses pembayar berbanding dengan pemberian kad kepada penerima yang layak.

Apakah kesan yang akan diterima oleh mereka yang berpendapatan sederhana?

ROSHAIZA: Perbelanjaan bulanan akan meningkat berdasarkan jumlah subsidi yang bakal ditarik balik.

Tambahan lagi terdapat kesan lain yang mungkin timbul akibat penarikan semula subsidi yang bukan hanya tertumpu kepada peruntukan perbelanjaan untuk petrol.

Apakah perkara yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan selepas program ini diperkenalkan supaya ia mencapai matlamat?

ROSHAIZA: Mengkaji dari masa ke masa kelancaran pelaksanaan program ini.

Mungkin juga perlu dilihat mungkin sebahagian daripada golongan berpendapatan sederhana turut layak untuk menerima subsidi ini.