Minggu Menabung SSPN melebihi sasaran

Mastura bergambar bersama pemenang pertandingan, tetamu jemputan khas serta pengunjung yang hadir pada penutup Minggu Menabung SSPN 2019 di Aeon Mall Shah Alam hari ini.
Mastura bergambar bersama pemenang pertandingan, tetamu jemputan khas serta pengunjung yang hadir pada penutup Minggu Menabung SSPN 2019 di Aeon Mall Shah Alam hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 3,175 akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) berjaya didaftarkan di seluruh negara melibatkan jumlah simpanan RM5.4 juta sempena Minggu Menabung SSPN 2019.

Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar & Operasi) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Mastura Mohd Khalid berkata, jumlah tersebut diperoleh sepanjang tiga hari program berlangsung sejak Jumaat lalu.

Menurutnya, pendaftaran akaun dan jumlah simpanan tersebut melebihi sasaran pihaknya iaitu sebanyak 1,910 akaun atau simpanan berjumlah RM1.9 juta.

"Pendekatan PTPTN turun padang jalankan aktiviti di lapangan, di lokasi tumpuan berjaya menarik penyertaan ibu-bapa mendaftarkan akaun simpanan pendidikan untuk anak-anak mereka.

"Di sebalik kejayaan jumlah kutipan ini, apa yang mahu PTPTN sampaikan adalah budaya menabung perlu diterapkan sejak dari awal untuk kegunaan masa hadapan anak-anak," katanya selepas menyempurnakan Majlis Penutup Minggu Menabung SSPN 2019 di Aeon Mall di sini hari ini.

Mastura Mohd Khalid
Mastura Mohd Khalid

Program tersebut turut berlangsung di Kuala Lumpur, Johor, Perak, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Selangor berjaya mendaftarkan sebanyak 1,175 akaun dengan jumlah simpanan RM1.1 juta setakat tengah hari ini.

"Ini menunjukkan rakyat Malaysia bersiap sedia menyediakan pelaburan untuk anak-anak. Objektif kita adalah mengurangkan kebergantungan pinjaman untuk pembiayaan masuk universiti.

"Terima kasih kepada semua pihak bekerjasama dalam menjayakan program ini. Atur cara dan permainan yang disusun sedikit sebanyak menarik penyertaan kanak-kanak untuk turut serta sehingga misi kutipan tercapai," katanya.