Pengakuan Dr Mahathir bukti maruah Melayu tergadai dalam PH: Annuar

Annuar bersama Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika menghadiri Kongres Maruah Melayu di Stadium Melawati, di sini, hari ini. -Foto Facebook Annuar Musa
A
A

SHAH ALAM - Pengakuan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kerajaan sekarang tidak kuat kemelayuannya walaupun dipimpin orang Melayu membuktikan maruah kaum Melayu tergadai akibat parti politik dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) sendiri.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, kenyataan Dr Mahathir sewaktu menyampaikan ucaptama di persidangan Kongres Maruah Melayu di Stadium Melawati, di sini juga membuktikan tindakan ta'awun antara UMNO-Pas dan Piagam Muafakat Nasional adalah tepat.

"Penyatuan itu merupakan satu komitmen jelas menyatukan ummah dan seterusnya menyusun 'road map' baharu bagi membela maruah bangsa Melayu.

"Justeru, kita akan meneruskan pemerkasaan Muafakat Nasional sebagai satu jalan tuntas di mana orang Melayu yang mengaku lemah dalam kerajaan PH boleh juga turut serta, asalkan mereka tidak lagi menggadai kedudukan, maruah dan kuasa Melayu," katanya dalam satu kenyataan dimuat naik dalam laman Facebooknya hari ini.

Annuar berkata, pihaknya merumuskan dapatan dari kongres ini ialah orang Melayu menerusi UMNO dan Pas yang memulakan penyatuan dan menggerakkan Muafakat Nasional.

Beliau turut mengajak seluruh umat Melayu bersama dalam muafakat besar ini bagi sama- sama melenyapkan dilema Melayu dan tidak tergolong dalam kalangan Melayu mudah lupa.

"Resolusi Kongres Maruah Melayu itu jika diteliti banyak juga yang baik. Namun sayangnya, ia adalah resolusi kongres anjuran universiti, maka sejauh mana ia akan dilaksana tidak menjamin apa-apa," katanya.