PBB gesa protes ganas di Iraq dihentikan

Situasi di Baghdad dan kawasan di selatan negara itu makin meruncing akibat siri protes sejak Selasa lalu. - Foto AFP
Situasi di Baghdad dan kawasan di selatan negara itu makin meruncing akibat siri protes sejak Selasa lalu. - Foto AFP
A
A
A

BAGHDAD - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam menggesa demonstrasi di Iraq dihentikan segera selepas protes antikerajaan sejak lima hari lalu itu telah meragut hampir 100 nyawa kebanyakannya ialah penunjuk perasaan.

"Selama lima hari kita menerima tentang laporan kematian dan kecederaan. Ia perlu berakhir," kata pegawai kanan agensi antarabangsa itu di Baghdad, Jeanine Hennis-Plasschaert.

Beliau turut menggambarkan keganasan itu sebagai 'kehilangan nyawa yang tidak masuk akal' dan dalang di sebaliknya perlu bertanggungjawab.

Sebelum ini, pihak berkuasa mendakwa penembak tepat tidak dikenali bertindak menembak kumpulan penunjuk perasaan tersebut dan mereka kini berusaha menjejaki individu bertanggungjawab yang menyebabkan kematian peserta protes terbabit.

Sekurang-kurangnya 99 terkorban manakala hampir 4,000 cedera sejak protes menuntut perkhidmatan lebih baik masalah pengangguran dan rasuah itu bermula di ibu negara pada Selasa lalu dan kemudiannya merebak ke bahagian selatan.

Kebanyakan penunjuk perasaan menegaskan gerakan itu tiada kaitan dengan mana-mana parti atau kumpulan agama.

Dalam perkembangan lain, kumpulan protes di Nasiriyah bertindak membakar ibu pejabat enam parti politik berbeza di bandar selatan terbabit.

Sementara itu ribuan lagi membanjiri sekitar bandar Diwaniyah di mana tembakan turut dilepaskan ke udara untuk menyuraikan mereka. - AFP

Artikel Berkaitan: