Arwah baru lima hari bekerja, waris terima faedah Perkeso

Hisham (dua dari kanan) menyerahkan baucar bayaran faedah-faedah Perkeso kepada waris dua beradik yang maut dalam nahas kereta dan lori minyak di Jalan Kuantan-Segamat.
Hisham (dua dari kanan) menyerahkan baucar bayaran faedah-faedah Perkeso kepada waris dua beradik yang maut dalam nahas kereta dan lori minyak di Jalan Kuantan-Segamat.
A
A
A

KUANTAN – [DIKEMAS KINI] Waris dua beradik yang maut dalam nahas kereta dan lori minyak berhampiran lampu isyarat Felda Lepar Hilir di sini layak menerima faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) walaupun salah seorang daripada mangsa baru bekerja beberapa hari.

Pengarah Perkeso Pahang, Hisham Abdul Rahman berkata, proses itu segera diuruskan selepas Skuad Perkeso Prihatin Pahang mendapat laporan mengenai kemalangan tersebut menerusi media.

Menurutnya, langkah proaktif diambil dengan mendapatkan maklumat dan membuat semakan caruman kedua-dua beradik itu.

"Hasil semakan mendapati waris dua beradik itu layak menerima faedah Perkeso menerusi Skim Bencana Pekerjaan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

"Kita dapati salah seorang mangsa, Siti Nur Alia Saffiyah Zulkifli, 18, sempat bekerja sebagai jurujual selama lima hari dan majikannya merupakan pencarum Perkeso berdaftar," katanya melalui satu kenyataan pada Khamis.

Dalam kemalangan kira-kira jam 11.30 malam, 14 Jun lalu, Nur Alia Saffiyah dan kakaknya, Siti Mazurah Zulkifli, 30, maut di tempat kejadian.

Hisham berkata, Perkeso Pahang telah mengunjungi ke rumah keluarga kedua-dua mangsa di Felda Lepar Hilir 1 pada Rabu untuk menyerahkan baucar bayaran faedah-faedah tersebut.

"Suami Siti Mazurah, Khairul Auzuddin Jasni telah menerima bayaran Faedah Pengurusan Mayat (FPM) RM2,000 untuk sekali bayar dan bayaran Faedah Orang Tanggungan (FOT) seumur hidup.

"Caruman Siti Nur Alia melayakkan ibu bapanya, Zulkifli Ismail dan Noor Zaimah Yunus@Hasbullah menerima bayaran FOT sepanjang hayat dan FPM sebanyak RM2,000," katanya.

Jelasnya, FOT memberi perlindungan kepada pekerja yang mengalami kemalangan atau suatu penyakit khidmat yang berpunca daripada pekerjaannya.

"Orang tanggungan layak menerima faedah ini sekiranya pekerja yang dilindungi Perkeso meninggal dunia akibat bencana berkaitan pekerjaan.

"FPM pula satu faedah di bawah Akta 4 yang dibayar kepada waris apabila pekerja disahkan meninggal akibat bencana kerja atau atas sebarang sebab sebelum mencapai umur 60 tahun, mengikut kelayakan caruman.

"FPM juga dibayar kepada waris apabila pekerja yang menerima bayaran berkala Faedah Hilang Upaya atau Pencen Ilat meninggal dunia tanpa mengira umur," jelasnya.