Perak sedia kerjasama dengan KEGA, realisasi hab ekonomi industri kreatif

Ahmad Faizal
Ahmad Faizal
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak bersedia memberi kerjasama sepenuhnya untuk merealisasikan cadangan menjadikan Perak sebagai hab ekonomi industri kreatif di bawah Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama (KEGA) sepertimana terkandung dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) yang dilancarkan semalam.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, tumpuan khusus di bawah KEGA itu akan membantu menggalakkan penggunaan teknologi tinggi bagi melonjakkan sektor pertanian, penternakan dan perikanan di Perak.

"Cadangan tumpuan dalam sektor ekopelancongan dan pelancongan warisan, perikanan dan penternakan berteknologi tinggi, industri desa bertepatan dengan visi menjadikan Perak antara penyumbang utama kedaulatan makanan negara.

"Tambahan pula Perak merupakan pengeluar ikan air tawar terbesar negara dan mencatatkan pendaratan ikan laut tertinggi di Malaysia yang menyumbang kepada 20 peratus daripada jumlah hasil tangkapan ikan negara," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pendekatan mengimbangi pertumbuhan ekonomi di negeri-negeri seluruh negara melalui KEGA bagi memastikan kekayaan negara dapat diagih sama rata adalah langkah tepat dan tidak hanya berpusat di wilayah-wilayah tertentu.

"Kerajaan negeri berpandangan sasaran Kerajaan Persekutuan untuk memastikan pengagihan ekonomi yang adil pada semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan akan dapat mengurangkan jurang pendapatan di antara penduduk bandar dan luar bandar," katanya.

Ahmad Faizal berkata, iltizam WKB2030 untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang terus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif pada semua peringkat adalah selari dengan aspirasi kerajaan negeri.

"Kerajaan negeri juga akan berunding dengan Kerajaan Persekutuan untuk menilai potensi-potensi tambahan Perak contohnya sebagai pusat pertumbuhan sektor automotif dan industri hiliran automotif," katanya.

Artikel Berkaitan:

WKB2030 yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam bermatlamat menstrukturkan semula ekonomi kemahiran rendah Malaysia kepada ekonomi berasaskan pengetahuan dengan rakyat menikmati standard kehidupan yang baik dalam tempoh 10 tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: WKB2030 hadiah untuk anak cucu kita: Dr Mahathir

WKB2030: Bumiputera B40 terima manfaat besar