X

Kindly register in order to view this article
!

WKB2030: Kerajaan kenal pasti isu utama rakyat

Dr Awang Azman (kiri) dan Dr Ahmed Razman
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Walaupun terdapat sentimen negatif rakyat kepada ekonomi negara namun pakar ekonomi beranggapan kerajaan sedang melakukan yang terbaik dalam usaha memacu ekonomi negara.

Menurut Penganalisis Ekonomi Putra Business School (PBS), Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, langkah kerajaan memperkenalkan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 merupakan usaha terbaik dalam menangani isu-isu utama dihadapi rakyat.

Katanya, kerajaan akhirnya mengenal pasti, mengiktiraf isu-isu utama dihadapi rakyat dan telah menyatakan komitmen untuk menangani isu isu tersebut dalam WKB yang akan bermula 2021 hingga 2030.

"Antara isu yang amat penting dan integral dalam WKB ini ialah jurang pendapatan antara kaum, bandar dan luar bandar serta B40, M40 dan T20. Jurang (ini) yang makin melebar setiap tahun harus ditangani dengan serius.

"Ini kerana jika tidak ianya boleh menyebabkan peristiwa lebih serius seperti rusuhan dan demonstrasi besar-besaran seperti di luar negara contohnya Venezuela dan Hong Kong," katanya, hari ini.

Selain jurang pendapatan, Dr Ahmed Razman berkata, kerajaan juga harus melihat jurang harta antara kaum, golongan luar bandar dan bandar.

"Ini kerana jika sesebuah isi rumah itu kehilangan sumber pendapatan, mampukah isi rumah tersebut menampung kos sara hidup dengan harta yang ada.

"Isu jurang pendapatan dan jurang harta ini hanya boleh diatasi dengan mereformasi sistem monetari iaitu mengawal lambakan kredit di pasaran yang menyebabkan golongan kaya bertambah kaya dan kos sara hidup makin meningkat," katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi pula menegaskan, kerajaan perlu menyedari beban kos sara hidup dialami rakyat dengan mengambil langkah menanganinya terlebih dahulu.

"Apa pun dasar dasar baharu yang hendak dilaksanakan keperluan asas melibatkan kepentingan rakyat itu perlu diberikan perhatian terlebih dahulu khususnya dasar kawalan kerajaan terhadap bekalan asas rakyat.

"Seperti kawalan harga minyak masak, gandum, gula, ikan, ayam dan sayur sayuran itu perlu ada. Perkara perkara asas ini kalau mereka dapat tangani maka perkara lain juga akan dapat ditangani," katanya.

Menurutnya, keperluan asas dalam kehidupan harian itu perlu ditangani terlebih dahulu sebelum dasar kemakmuran bersama yang bersifat luas dan memerlukan masa itu dapat dilaksanakan.

Pada Mei lepas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memperkenalkan dasar baharu, WKB2030 dengan matlamat menyediakan taraf hidup yang wajar kepada semua rakyat dalam usaha memajukan negara.

WKB dilancarkan Dr Mahathir hari ini adalah usaha menjadikan Malaysia sebuah negara membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil dan saksama di setiap peringkat rantaian nilai, kelas, kaum dan geografi sehingga mewujudkan rasa keharmonian dan kestabilan dalam kalangan rakyat.

ARTIKEL BERKAITAN: WKB2030 hadiah untuk anak cucu kita: Dr Mahathir


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus