X

Kindly register in order to view this article
!

PRK Tanjung Piai: Jangan persoal parti mana bertanding, kata Zahid

Zahid ketika berucap pada Konvensyen UMNO Johor 2019 di sini hari ini.
A
A

JOHOR BAHRU - Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai dilihat akan menjadi penanda aras baharu dalam situasi politik negara dan platform menonjolkan lagi semangat kemuafakatan parti komponen Barisan Nasional (BN).

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti mana yang akan bertanding pada kerusi itu bukan sesuatu yang harus dipersoalkan kerana visi utamanya hanyalah untuk memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

Menurutnya, pimpinan parti perlu memberi sokongan kepada apa jua keputusan yang akan dibuat selain terus bekerjasama sebagai satu pasukan yang mantap.

“Kita tahu 56.9 peratus pengundi di sana adalah Melayu. UMNO, MCA dan penduduk di sana mahukan perubahan. Kita juga sedia maklum MCA mahu kekalkan kerusi tradisinya.

“Tiada yang mustahil jika MCA berbesar hati dan berlapang dada tetapi UMNO jangan pula ketepikan MCA, semangat adik-beradik itu harus dikekalkan,” katanya ketika berucap pada Konvensyen UMNO Johor 2019 di Hotel Throve di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Ahmad Zahid berkata, beliau juga berharap semangat positif PRK di Tanjung Piai dapat diadaptasi seperti perjuangan parti ketika bersaing dalam PRK Cameron Highland yang lalu.

"Mereka (MCA) sentiasa berlapang dada seperti mana MIC yang berlapang dada untuk Parlimen Cameron Highlands. Kita tidak menolak semua kemungkinan, apa yang saya fikir, kita mesti mengalahkan PH (Pakatan Harapan) dan memenangkan BN,” katanya.

Dalam masa sama, meskipun gambaran diberikan Ahli Parlimen Bagan Datoh itu seakan benar menunjukkan UMNO akan meletakkan calon bagi kerusi parlimen berkenaan, beliau berkata, segala keputusan hanya akan diumumkan selepas Mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada masa terdekat.

“Kita amat yakin semangat BN harus dikekalkan, untuk itu segala keputusan sama ada dari UMNO Johor atau MCA Johor perlu berlandaskan kepada kemuafakatan. Tentunya Mesyuarat Dewan Tertinggi BN adalah tempat untuk BN memuktamadkan calon akan bertanding.

“Kita tahu pihak penyandang sudah mengumumkan calonnya semalam tetapi sekadar menyebut calon itu adalah daripada Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia).

“Maka langkah bijak kita adalah untuk tidak menamakan calon kerana kajian lapangan yang ada akan dijadikan sebagai landasan pemilihan calon bagi PRK Tanjung Piai ini,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!