Insentif Geran Sepadan SSPN-i kepada keluarga B40 diteruskan

Wan Saiful - Foto Bernama
Wan Saiful - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) meneruskan pemberian insentif Geran Sepadan secara percuma sehingga RM10,000, kepada keluarga berpendapatan rendah (B40) yang menabung dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).

Geran Sepadan yang memperuntukkan dana sebanyak RM1 bilion itu diperkenalkan Tun Dr Mahathir Mohamad, semasa menjadi Perdana Menteri pada pembentangan Belanjawan 2003 dan ia untuk diagihkan kepada keluarga yang membuat simpanan bagi tujuan pendidikan tinggi anak-anak mereka menerusi skim berkenaan.

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, pemberian insentif itu disifatkan sebagai galakan kepada golongan terlibat untuk terus menabung, walaupun pendapatan yang diterima mereka adalah kecil jumlahnya.

"Ini juga merupakan usaha kerajaan bagi memastikan golongan ini bersedia untuk menanggung kos pendidikan tinggi. Malah simpanan boleh bermula pada kadar RM20 secara bulanan namun perlu dilakukan dengan berdisiplin.

"Disebabkan itu, pandangan masyarakat mengatakan (amalan) menyimpan hanyalah untuk golongan yang mempunyai wang saja harus dikikis. PTPTN masih lagi meneruskan insentif ini, kerana ia memberi manfaat besar dan membantu golongan B40," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Minggu Menabung SSPN 2019 di sini hari ini.

Program Minggu Menabung 2019 yang masuk tahun kedua penganjurannya itu, berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di 13 lokasi seluruh negara dengan menyasarkan kutipan tabungan berjumlah RM1.9 juta.

Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, sehingga kini, hanya RM2.5 juta sahaja dana Geran Sepadan telah diagihkan kepada pendeposit yang layak, sejak diperkenalkan 16 tahun lepas dan masih berbaki sebanyak RM997.5 juta, untuk orang ramai merebut manfaatnya.

Beliau berkata, antara syarat yang perlu dipatuhi pendeposit bagi melayakkan mereka memperoleh manfaat geran itu adalah mempunyai tempoh simpanan sekurang-kurangnya 10 tahun, jumlah simpanan maksimum RM10,000 dan anak mereka mendapat tawaran kemasukan ke institusi pengajian tinggi.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu dalam ucapannya, Wan Saiful berkata, sejak SSPN diperkenalkan pada 2004 hingga Ogos lepas, sebanyak 4.2 juta akaun skim itu telah dibuka dengan jumlah deposit RM5.1 bilion.

Bagaimanapun katanya, jumlah akaun itu dilihat tidak setara dengan bilangan kanak-kanak dan remaja warganegara yang merekodkan angka 10 juta orang.

"Tindakan lebih giat harus dilakukan lagi bagi memastikan setiap ibu bapa mempunyai tabungan SSPN untuk anak-anak secara konsisten," katanya.

Mengulas lanjut mengenai SSPN, beliau berkata, keistimewaan skim itu adalah ia merupakan satu-satunya pelan simpanan yang memberikan pelepasan taksiran cukai kepada pendeposit sejak 2004, patuh syariah dan memberikan kadar dividen yang kompetitif.

Malah katanya, untuk tahun ini, kerajaan menerusi Belanjawan 2019 menaikkan kadar pelepasan taksiran cukai kepada RM8,000 setahun bagi setiap keluarga berbanding hanya RM6,000 pada tahun lepas.

PTPTN dalam kenyataannya pula memaklumkan pelbagai hadiah menarik melebihi RM1.1 juta ditawarkan melalui promosi Cabutan Hadiah SSPN 2019, sebagai galakan lebih ramai rakyat membuka akaun tabungan, antaranya wang tunai lebih RM151,000 dan juga kereta Proton X70 Premium.

Sementara itu, seorang pemenang Cabutan WOW! SSPN-i plus, Kartini Jasni, 32, berkata, beliau memilih untuk menabung menerusi skim ditawarkan PTPTN adalah bagi memberi peluang kepada pelajar lain mendapat pinjaman pendidikan sepertinya dulu.

"Saya dulu belajar memang mendapat pinjaman PTPTN, disebabkan itu saya menabung menerusi SSPN supaya orang lain pula dapat pinjam dan belajar selain simpanan saya itu untuk kegunaan menyambung pengajian suatu hari nanti," kata doktor veterinar berkenaan.- Bernama