UMNO bertegas letak calon PRK Tanjung Piai

Jefridin
Jefridin
A
A
A

PONTIAN- UMNO Bahagian Tanjung Piai tidak berdepan kesukaran mendapatkan kerjasama MCA walaupun masih berpendirian mahu calon daripada UMNO mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai bulan depan.

Ketuanya, Datuk Jefridin Atan berkata, parti komponen BN mempunyai hubungan baik dengan UMNO dan tiada masalah untuk membantu bagi meraih undi.

Justeru, katanya, beliau menyerahkan sepenuhnya soal calon kepada pucuk pimpinan tetapi berharap laluan diberikan kepada UMNO selepas 30 tahun MCA menduduki kerusi Parlimen Tanjung Piai.

"UMNO Bahagian Tanjung Piai juga bertegas untuk meletakkan calon berdasarkan perbincangan dengan 88 ketua cawangan pada minggu lepas," katanya pada majlis bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Warung Burasak Abah Pekan Nanas, di sini semalam.

Mengenai persiapan PRK Parlimen Tanjung Piai, Jefridin berkata, UMNO bahagian telah menyusun jentera pilihan raya dan lantikan jawatankuasa serta jalinan rakyat telah diatur.

Menurutnya, Pengerusi UMNO Johor, Datuk Ir Hasni Mohamad dilantik sebagai Pengarah PRK Tanjung Piai manakala beliau sendiri sebagai Pengarah PRK Tanjung Piai di peringkat bahagian.

Selain itu, katanya, sebanyak 27 Pusat Daerah Mengundi (PDM) dibuka dan akan dipantau oleh bahagian UMNO dari seluruh Johor serta majlis tertinggi parti.

Artikel Berkaitan: