PH belum putus calon tanding PRK Tanjung Piai

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor ketika sidang media di Pejabat Bersatu Pagoh, di sini hari ini. - Foto Bernama
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor ketika sidang media di Pejabat Bersatu Pagoh, di sini hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

MUAR - Pakatan Harapan (PH) belum lagi memutuskan nama calon yang akan mewakili dan mempertahankan kerusi Parlimen Tanjung Piai pada Pilihan Raya Kecil (PRK), bulan depan.

Bagaimanapun, Pengerusi PH Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui sudah ada beberapa nama yang dilihat berpotensi untuk dipilih sebagai calon kawasan parlimen itu.

“Hari ini tidak lagi (bincang senarai calon). (Tetapi) itu satu perkara yang kita selalu ambil perhatian. Kita sudah ada juga beberapa nama tetapi kita (masih) ada masa.

“Kita akan putuskan yang mana sesuai, yang popular, yang berhemah, yang berpendidikan, yang mungkin (anak) tempatan.

Kita akan kemukakan kepada pimpinan PH untuk diterima dan diputuskan (kemudian),” kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat PH Johor di Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pagoh di Pagoh Jaya, dekat sini hari ini.

Menteri Dalam Negeri itu, yang juga Presiden Bersatu, turut mengesahkan calon yang akan bertanding di PRK itu daripada Bersatu.

“Setakat ini, kita berpegang kepada apa yang telah diputuskan berdasarkan pilihan raya umum yang lepas, kecuali ada keputusan baharu yang dibuat oleh pimpinan tertinggi, kita kata kerusi ini adalah yang ditandingi Bersatu, tetapi waktu pertandingan kita tak sebut Bersatulah, ini adalah (calon) PH,” kata beliau.

Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada senarai calon ada dibincangkan pada mesyuarat itu dan adakah calon masih lagi daripada parti Bersatu.

Artikel Berkaitan:

Menyifatkan PRK itu adalah satu persaingan yang boleh dikatakan mencabar, Muhyiddin berkata, PH tidak memandang mudah PRK berkenaan kerana ia dilihat signifikan kerana menjadi perhatian bukan sahaja di peringkat nasional tetapi juga di peringkat antarabangsa.

“Kita tidak pandang mudah. Saya percaya pihak pembangkang pun bersedia untuk mencabar tapi ini adalah demokrasi, kita akan menghadapinya dengan penuh tabah dan kita akan hadapi realiti.

“Apapun situasinya, kita berharap pengundi yang ada di kawasan Tanjung Piai yang merangkumi lebih 52,000 akan memberikan sokongan yang padu,” katanya menambah jentera PH bersedia menghadapi sebarang kemungkinan sekali gus mencapai kejayaan dalam mempertahankan kerusi parlimen berkenaan.

Turut hadir pada mesyuarat yang berlangsung lebih dua jam itu ialah Setiausaha Bersatu Datuk Marzuki Yahya, Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal serta barisan kepimpinan tertinggi negeri parti komponen.

ARTIKEL BERKAITAN: PRK Tanjung Piai 16 November

PRK Tanjung Piai uji 'perkahwinan' UMNO-Pas

Antara yang hadir Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Salahuddin Ayub, Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi Bersatu Johor Mazlan Bujang.

Turut diputuskan pada mesyuarat itu ialah pelantikan Dr Sahruddin sebagai Pengarah Jentera PH bagi pilihan raya kecil itu.

PRK yang dijadualkan pada 16 Nov ini diadakan berikutan kematian ahli parlimennya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, akibat komplikasi jantung pada 21 Sept lepas.

Dr Md Farid, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, meninggalkan seorang balu dan tiga anak perempuan. - Bernama