PRK Tanjung Piai 16 November

Azhar Azizan ketika sidang media mengenai pengumuman tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Johor di Ibu Pejabat SPR hari ini. -Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Tarikh mengundi bagi Pilihan Raya Kecil P165 Tanjung Piai, Johor ditetapkan pada 16 November depan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun berkata, hari penamaan calon ditetapkan 2 November manakala hari mengundi Awal pada 12 November.

"Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari selepas pengisytiharan calon sehingga 11.59 malam 15 November," katanya.

Menurutnya, tarikh buka bagi urusan permohonan undi pos luar negara dan dalam negara pada 1 Oktober 2019 manakala ditutup 31 Oktober.

"SPR akan menggunakan Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian sebagai Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Undi," katanya pada sidang media di ibu pejabat SPR di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: PRK Tanjung Piai ujian besar PH

Beliau berkata, borang penamaan calon boleh dibeli mulai 8 Oktober di Pejabat Pegawai Pengurus Pilihan Raya di Pejabat Daerah Pontian atau Pejabat SPR Johor serta Ibu Pejabat SPR Putrajaya.

"Untuk memudahkan proses penamaan calon, saya menggesa bakal calon agar mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang tersebut dengan pejabat SPR.

"Proses semakan awal boleh dibuat mulai 28 Oktober," katanya.

Bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar, bakal calon turut dinasihati membuat pembayaran deposit lebih awal.

PRK Tanjung Piai akan diadakan susulan kematian penyandang kerusi itu, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, akibat serangan jantung pada 21 September lalu.