PBNS terima tajaan RM2 juta dari Carpet Prima

T Deepak (kanan) menyerahkan sumbangan bernilai RM2 juta kepada Aminuddin disaksikan Tunku Syed Razman (dua dari kanan) pada satu majlis ringkas di Wisma Negeri di sini hari ini.
T Deepak (kanan) menyerahkan sumbangan bernilai RM2 juta kepada Aminuddin disaksikan Tunku Syed Razman (dua dari kanan) pada satu majlis ringkas di Wisma Negeri di sini hari ini.
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) hari ini menerima tajaan sebanyak RM2 juta daripada syarikat permaidani, Carpet Prima Sdn Bhd (Carpet Prima).

Tajaan itu disampaikan pemilik Carpet Prima, T Deepak kepada Tunku Besar Tampin yang juga Presiden PBNS, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri pada satu majlis ringkas di Wisma Negeri dekat sini.

Hadir sama Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga Penasihat PBNS dan Timbalan Presiden PBNS, Datuk Dr Razali Ab Malik yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri.

Tunku Syed Razman berkata, persatuan itu turut mengalu-alukan sebarang tajaan bagi merancakkan pembangunan sukan bola sepak di negeri ini.

"PBNS berharap lebih banyak pihak sama ada individu atau syarikat akan tampil menyalurkan sumbangan dengan hasrat untuk melihat sukan bola sepak negeri ini terus dimajukan ke tahap lebih baik," katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyampaian tajaan itu hari ini.

Beliau berkata, sumbangan diterima itu akan digunakan sepenuhnya untuk keperluan pembangunan PBNS bagi memastikan pasukan Hobin Jang Hobin mengembalikan kegemilangan menjelang musim akan datang.

Dalam perkembangan berkaitan, Tunku Syed Razman memberitahu, penyanyi yang berasal dari negeri ini, Ito Blues Gang telah bersetuju untuk menghadiahkan sebuah lagu khusus untuk PBNS.

Beliau berkata, lagu itu akan dicipta untuk menyemarakkan lagi semangat para penyokong Negeri Sembilan dalam perlawanan bola sepak akan datang.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Aminuddin turut menaruh harapan terhadap skuad Rusa untuk kembali beraksi cemerlang dan merangkul piala kejohanan pada perlawanan akan datang.

“Pada tahun ini, kita memang tidak harapkan piala daripada PBNS, berikutan penyusunan semula dari segi pengurusan dan pemain tetapi pada musim akan datang, kita akan pastikan pasukan membawa pulang piala,” katanya.