Jangan buat andaian tidak berasas: Abu Bakar

Abu Bakar Yahya
Abu Bakar Yahya
A
A
A

SHAH ALAM - Kehadiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke Kongres Maruah Melayu di Stadium Malawati Shah Alam Ahad ini tidak perlu dipertikaikan dengan andaian yang tidak berasas.

Setiausaha politiknya, Abu Bakar Yahya berkata, andaian kehadiran Dr Mahathir ke kongres berkenaan kononnya tidak sesuai selain memburukkan lagi ketegangan masyarakat adalah dangkal dan mengelirukan.

"Tidak perlu bersusah-payah mencipta andaian yang tidak berasas di sebalik kehadiran Dr Mahathir ke kongres itu. Perpaduan rakyat tidak akan tergugat. Kongres bertujuan membicarakan masa depan orang Melayu berasaskan kepada perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Perlembagaan Persekutuan telah menjamin hak dan kedudukan kaum lain. Kenapa pihak lain 'rasa panas' sehingga membuat andaian negatif terhadap kongres berkenaan termasuk mempertikaikan kehadiran Dr Mahathir. Tindakan itu tidak adil. Kongres itu menjurus kepada hal ehwal orang Melayu," katanya di sini hari ini.

Abu Bakar berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago yang menyatakan bukan masa terbaik untuk Dr Mahathir hadir ke kongres berkenaan.

Wakil rakyat DAP itu menerusi laporan sebuah portal berita turut mengingatkan Dr Mahathir bahawa beliau adalah Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia.

Sementara itu, Abu Bakar berharap semua orang Melayu tanpa mengira ideologi politik turun beramai-ramai ini ke kongres berkenaan seawal lapan pagi Ahad ini.

"Kehadiran ini sebagai tanda solidariti dalam usaha mengangkat martabat serta survival bangsa Melayu pada masa hadapan," katanya.

Artikel Berkaitan: