Tentera Bangladesh didakwa noda budak Rohingya

AYAT FB: Siasatan dilancarkan selepas tentera Bangladesh didakwa menodai kanak-kanak perempuan Rohingya

Seorang kanak-kanak perempuan Rohingya didakwa menjadi mangsa serangan seksual tentera Bangladesh.
Seorang kanak-kanak perempuan Rohingya didakwa menjadi mangsa serangan seksual tentera Bangladesh.
A
A
A

DHAKA - Tentera Bangladesh semalam memaklumkan ia mengarahkan siasatan selepas sebuah keluarga Rohingya di sebuah kem pelarian mendakwa anggota tentera menodai seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.

Abang kepada mangsa, Mohammad Osman berkata, tiga anggota tentera memasuki khemah mereka di kem Nayapara Rohingya di sempadan Dhaka pada Ahad lalu dan melakukan serangan seksual ke atas adiknya.

"Dia diperkosa dan ketika kejadian itu mulutnya turut ditutup salah seorang daripada mereka," katanya menerusi panggilan telefon kepada AFP.

Sementara itu, jurucakap tentera, Leftenan Kolonel, Abdullah Zaid mengesahkan mereka telah menyiasat perkara itu.

"Kami telah menubuhkan jawatankuasa siasatan untuk mencari fakta. Jika mereka didapati bersalah, hukuman tegas akan dikenakan," ujarnya.

Dr Shaheen Abdur Rahman yang memeriksa mangsa di hospital pusat di Cox's Bazar bagaimanapun enggan memberikan keputusan pemeriksaan itu kerana sekatan mahkamah.

"Kami dimaklumkan tentang perkara itu. Dalam kes sedemikian, individu berhak mendapat bantuan perubatan, fizikal dan psikologi," kata jurucakap Pertubuhan PBB bagi Pelarian (UNHCR), Joseph Tripura.

Ketegangan semakin meningkat sejak beberapa minggu lalu selepas kerajaan Bangladesh melaksanakan beberapa langkah yang menyukarkan lagi hidup golongan tersebut yang kini terpaksa bersesak di kem pelarian di sempadan. - AFP

Artikel Berkaitan: