Orang dewasa perlu pantau kanak-kanak ketika di lokasi rekreasi air

Lee Lam Thye
Lee Lam Thye
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ibu bapa serta orang dewasa perlu sentiasa memantau anak mereka dan kanak-kanak lain ketika berada di kawasan pantai atau lokasi rekreasi air.

Ahli Majlis Keselamatan Aktiviti Air Negara (MKAA), Tan Sri Lee Lam Thye dalam kenyataan hari ini berkata orang dewasa bertanggungjawab memastikan keselamatan kanak-kanak sepanjang masa kerana mereka mungkin tidak menyedari risiko kemalangan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, sering dilaporkan ada dalam kalangan ibu bapa yang membiarkan anak mereka bermain air tanpa sebarang pengawasan sehingga menyebabkan tragedi lemas yang menyayat hati.

“Walaupun musim tengkujuh kali ini tidak serius seperti beberapa tahun lepas, kita harus menanam azam di tahun baharu ini untuk mencapai sifar lemas atau sekurang-kurangnya mengurangkan jumlah kes setiap tahun.

“Saya menggesa pihak kerajaan, kumpulan berkepentingan, badan bukan kerajaan, pihak sekolah serta ibu bapa berusaha ke arah mencapai sifar lemas atau mengurangkan kejadian lemas,” katanya.

Lee turut mengucapkan takziah kepada keluarga tiga beradik yang lemas di Pantai Sura Tengah, Dungun, pada Ahad lepas.

Dalam kejadian itu, tiga beradik iaitu Nurain Salsabila Zawawi, 6; Nurain Sofia, 8; dan Nurain Fatma, 10, berasal dari Kampung Peringat, Kelantan, hanyut setelah dipukul ombak besar ketika bermain di pesisir pantai.

Lee berkata orang ramai juga perlu memahami dan mematuhi amaran yang diberikan.

Artikel Berkaitan:

“Bendera putih yang dinaikkan menunjukkan keadaan laut adalah selamat untuk berenang dan melakukan aktiviti di dalam air manakala bendera merah merupakan amaran kepada semua untuk menjauhkan diri dari air,” katanya. - Bernama