Tumpang solat sebelum ragut warga emas

No Image Caption
A
A
A

BAGAN SERAI - Seorang lelaki tergamak meragut rantai emas milik seorang wanita warga emas ketika menumpang untuk menunaikan solat Isyak dalam kejadian di Parit Haji Ismail Bagan Serai di sini bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.15 malam itu, mangsa berusia 78 tahun kerugian kira-kira RM500.

“Suspek berusia 24 tahun memberi alasan untuk menumpang menunaikan solat. Mangsa yang tinggal berseorangan turut memberi kain pelikat untuk dipakai suspek yang berseluar pendek ketika itu.

“Selesai solat, suspek terus meragut rantai mangsa dan melarikan diri dengan menaiki motosikal jenis Honda Wave,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian di sini hari ini.

Menurutnya, hasil risikan polis berjaya menahan suspek pada Ahad lalu.

“Hasil soal siasat mendapati suspek mengakui telah dua kali datang ke rumah mangsa sebelum meragut rantai emas tersebut.

“Semakan mendapati suspek merupakan bekas banduan mempunyai tiga rekod lampau dalam kesalahan menghisap dadah,” katanya.

Omar Bakhtiar berkata, suspek direman untuk siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan iaitu samun.

Artikel Berkaitan: