Menyorok atas siling elak dicekup

Antara warga asing yang diperiksa dalam Ops Bersepadu di premis perkilangan di Shah Alam, semalam.
Antara warga asing yang diperiksa dalam Ops Bersepadu di premis perkilangan di Shah Alam, semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - Pendatang asing tanpa izin (PATI) sanggup bersembunyi di atas siling tandas dan stor bagi mengelak dicekup pihak berkuasa.

Bagaimanapun cubaan itu berjaya dikesan sepasukan Jabatan Imigresen Negeri Selangor dalam operasi bersepadu di tiga premis perkilangan di daerah ini semalam.

Pengarah Imigresen Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, operasi yang turut disertai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Selangor dilakukan bermula jam 4.30 petang.

"Operasi yang tamat pada jam 8.30 malam itu telah memeriksa seramai 180 warga asing dan 127 daripadanya dikesan melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

"Semasa serbuan, terdapat segelintir PATI cuba melarikan diri dan bersembunyi di siling tandas dan stor namun gagal kerana anggota serbuan berjaya mengesan tempat persembunyian mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tangkapan melibatkan 92 wanita dan 35 lelaki berusia lingkungan 20 hingga 45 tahun.

Katanya, PATI yang ditahan itu terdiri daripada 93 warga Indonesia, India (16), Myanmar (8), Bangladesh (7), Nepal (2) dan Pakistan (1).

"JPN turut mengesan pemilikan kad pengenalan meragukan membabitkan dua wanita.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua PATI yang ditahan dibawa ke Bahagian Penguatkuasa Imigresen Selangor manakala dua wanita terbabit dibawa ke JPN Selangor untuk tindakan lanjut," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal tanpa pas atau permit yang sah, Seksyen 15(1)(c) Akta yang sama kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang telah diberikan.

Mohamad Shukri berkata, siasatan juga akan tertumpu kepada pihak majikan yang menggajikan PATI.

"Majikan ini turut dikenakan tindakan undang-undang jika didapati melakukan kesalahan itu," katanya.