Marahkan nyamuk, kelambu dibakar

A
A
A

HASHTAG #BoycottMalaysia tiba-tiba menjadi trending di Twitter kelmarin gara-gara kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyarankan India dan Pakistan perlu bekerjasama untuk menyelesaikan konflik Jammu dan Kashmir (J&K) menerusi ucapan beliau di Perhimpunan Agung PBB di New York pada 27 September lalu.

"Walaupun ada resolusi terhadap J&K, negara itu telah ditawan dan diduduki. Terdapat banyak sebab untuk tindakan itu, namun ia masih salah. Perkara itu perlu diselesaikan secara damai," kata Tun M.

Ucapan tersebut bagaimanapun membangkitkan kemarahan pengguna Twitter di India dan ada yang menuduh Perdana Menteri secara jelas berpihak kepada Pakistan untuk menentang India berhubung isu di wilayah yang menjadi pertikaian itu.

Mereka menjadikan laman blog mikro tersebut sebagai medium untuk melancarkan kempen boikot ke atas pelancongan, produk dan perkhidmatan malah syarikat penerbangan Malaysia juga menjadi sasaran golongan tersebut.

Tun M bersuara tentang isu Kashmir yang didiami majoriti penduduk Islam apabila pemimpin dunia hingga ke hari ini hanya membisu tentang sekatan dan pelanggaran hak yang dilakukan sewenang-wenangnya oleh India selepas ia membatalkan status khas selama tujuh dekad di wilayah bergolak tersebut menerusi langkah tergesa-gesa dengan memansuhkan Artikel 370 dalam Perlembagaan pada 5 Ogos lalu.

New Delhi turut menempatkan puluhan ribu tentera tambahan selepas ia memutuskan talian telefon dan perkhidmatan internet serta sekolah dan perniagaan terpaksa menutup operasi mereka malah pemimpin politik juga dikenakan tahanan rumah atas alasan untuk mengelakkan protes yang dikhuatiri akan memburukkan lagi konflik itu.

Sebelum ini, Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan dengan lantang menuduh parti pemerintah nasionalis, Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan rakan sejawatannya di India, Narendra Modi cuba melakukan pembersihan etnik Muslim di J&K.

Legenda kriket itu juga memberi amaran Kashmir akan bermandi darah jika India enggan menarik balik sekatan selama lebih 60 hari yang dikenakan tanpa belas kasihan ke atas lapan juta penduduk di wilayah itu.

Artikel Berkaitan:

Hubungan kedua-dua negara kuasa nuklear itu kembali tegang dalam konflik berpanjangan itu selepas ia sebelum ini pernah terjerumus dalam dua peperangan berpunca daripada perebutan wilayah Kashmir sejak 1947.

New Delhi dan Islamabad mendakwa Kashmir milik mereka.

Tetapi, wilayah itu diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai 'Kashmir ditadbir India' dan 'Kashmir ditadbir Pakistan.

Kashmir adalah sebuah wilayah Himalaya didiami pelbagai etnik meliputi kawasan 138 kilometer persegi dan terkenal kerana keindahan tasik, padang rumput dan gunung-ganang dilitupi salji.

Kawasan itu terus menjadi rebutan walaupun sebelum India dan Pakistan memperoleh kemerdekaan daripada Britain pada Ogos 1947.

Di bawah pelan pembahagian yang disediakan oleh Akta Kemerdekaan India, Kashmir bebas untuk menyertai New Delhi atau Islamabad.

Maharaja Hari Singh yang merupakan pemerintah tempatan pada masa tersebut mahu Kashmir 'bebas', namun ia memilih untuk menyertai India pada Oktober 1947 sebagai balasan terhadap bantuan New Delhi kerana menghalang pencerobohan puak dari Pakistan.

Peperangan yang tercetus itu menyebabkan India meminta campur tangan PBB yang kemudiannya mencadangkan pungutan suara umum untuk menyelesaikan isu Kashmir.

Tetapi, kedua-dua negara terbabit tidak dapat mencapai persetujuan untuk menjadikan wilayah itu zon bebas tentera sebelum referendum tersebut diadakan.

Pada Julai 1949, New Delhi dan Islamabad menandatangani perjanjian untuk menubuhkan garisan gencatan senjata seperti disarankan PBB dan wilayah itu akhirnya dibahagikan.

Konflik itu tidak berakhir di situ dan disusuli dengan peperangan kedua pada 1965.

Selepas lebih lima dekad, India dan Pakistan terus bertelagah tentang isu Kashmir dan ia seperti tidak akan berkesudahan.

Malaysia juga tidak semena-mena turut terpalit dengan isu tersebut.

Jika golongan tersebut sibuk mahu boikot itu boikot ini, kita juga boleh ambil langkah sama, namun dengan cara tidak terlalu keterlaluan.

Kenapa tidak kita boikot saja industri filem Bollywood yang penuh adegan menyanyi dan menari serta plot fantasi memaparkan emosi berlebih-lebihan yang membuai perasaan rakyat Malaysia.

Tanpa kita sedar, filem tersebut yang ditayangkan di sini sebenarnya menjana pulangan pelaburan yang amat besar memandangkan ia memberi pengaruh besar kepada peminat filem Hindi.

Tindakan memboikot filem Bollywood turut dilakukan oleh Pakistan pada Ogos lalu untuk memberi tekanan diplomatik ke atas India. Jadi, tepuk dada tanya selera.