Tapak pelupusan sampah haram kini berstatus pertanian

Chen Choon mengadakan lawatan ke tapak sampah haram di Taman Perindustrian Kota Puteri yang terbakar. Foto: Ihsan Chen Choon
Chen Choon mengadakan lawatan ke tapak sampah haram di Taman Perindustrian Kota Puteri yang terbakar. Foto: Ihsan Chen Choon
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tapak pelupusan sampah haram di Taman Perindustrian Kota Puteri yang terbakar sejak 27 September lalu akan dikembalikan kepada status asalnya iaitu pertanian.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon berkata, keputusan itu dicapai menerusi mesyuarat tergempar bersama beberapa pihak berkuasa dan agensi terlibat hari ini.

Menurutnya, antaranya Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Jabatan Alam Sekitar negeri (JAS), SWCorp negeri, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan SAJ Ranhill.

"Susulan tinjauan ke tapak pelupusan sampah haram di Taman Perindustrian Kota Puteri semalam, mesyuarat tergempar diadakan.

"Status tanah persendirian di tapak pelupusan sampah itu perlu dikembalikan kepada pertanian melalui notis arahan yang akan dikeluarkan oleh pihak PTG Negeri Johor," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Chen Choon berkata, seramai 50 anggota bomba terlibat dalam operasi pemadaman di mana mereka optimis kebakaran tersebut mampu ditangani sepenuhnya dalam tempoh sembilan hari dengan keadaan bekalan air yang mencukupi.

"Pihak SWCorp negeri juga telah diarahkan untuk mengambil tindakan tegas serta merta terhadap lokasi tumpuan tapak pelupusan sampah haram tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan: