Dikecam gara-gara kongsi cerita anak kena ragut

Rantai yang dipakai oleh anak Siti Haryani yang diragut baru-baru ini.
Rantai yang dipakai oleh anak Siti Haryani yang diragut baru-baru ini.
A
A
A

BATU KAWAN - Seorang ibu menerima kecaman hebat daripada netizen gara-gara dirinya ingin memberi peringatan kepada orang ramai agar lebih berhati-hati dengan peragut di tempat awam.

Pemilik Facebook yang bernama Siti Haryani Azmi baru-baru ini telah menceritakan kejadian rantai leher anak perempuannya yang diragut individu tidak dikenali ketika berkunjung ke pesta Jom Heboh Ahad lalu namun menerima kutukan daripada orang ramai.

Siti Haryani berkata, rantai yang dipakai oleh anaknya itu bukan baharu sahaja dipakai ketika hendak berkunjung ke pesta tersebut namun telah dipakai sejak anaknya kecil lagi dan memang tidak ditanggalkan.

Menurutnya, dia sedar kejadian yang menimpa anaknya mampu dielakkan sekiranya langkah pencegahan diambil dengan membuka dahulu barang kemas tersebut sebelum berkunjung ke tempat-tempat awam.

Siti Haryani menerima kecaman daripada netizen gara-gara dirinya hanya berkongsi cerita mengenai rantai leher anak perempuannya yang diragut individu tidak dikenali ketika berkunjung ke pesta Jom Heboh, Ahad lalu untuk memberi pengajaran kepada orang ramai.
Siti Haryani menerima kecaman daripada netizen gara-gara dirinya hanya berkongsi cerita mengenai rantai leher anak perempuannya yang diragut individu tidak dikenali ketika berkunjung ke pesta Jom Heboh, Ahad lalu untuk memberi pengajaran kepada orang ramai.

"Sebenarnya anak saya sentiasa pakai barang kemas itu dan tidak pernah buka pun. Bukanlah seperti yang orang ramai fikir nak ke Jom Heboh baharu pakaikan satu-satu seolah-olah nak menunjuk. Rantai pun selalu masukkan dalam baju bila kami nak ke mana-mana.

"Niat saya hanya hendak berkongsi supaya orang ramai lebih berhati-hati kerana kita tidak tahu apa yang akan terjadi. Ramai juga yang berkongsi dengan adik-beradik supaya dijadikan iktibar.

Artikel Berkaitan:

"Sebenarnya ramai lagi yang telah berkongsi dengan saya, ada yang menjadi mangsa ragut cuma mereka tak berkongsi di Facebook. Terima kasih yang mesej memberi kata-kata positif dan mendoakan saya. Alhamdulillah, anak saya 'okay' cuma dia asyik sebut pasal rantai bila dia teringat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Terdahulu, Siti Haryani telah memuat naik satu kenyataan di Facebooknya menceritakan anaknya menjadi mangsa ragut ketika mereka sekeluarga berkunjung ke Pesta Jom Heboh di sini Ahad lalu.

Leher anaknya merah selepas rantai dipakainya diragut.
Leher anaknya merah selepas rantai dipakainya diragut.

"Kami berjalan berkumpulan dan suami memegang tangan anak saya dan tiba-tiba anak saya, Anelia menangis dan bila ditanya ada seorang wanita berbadan gemuk telah menarik rantai dia.

"Kejadian itu juga menyebabkan anak saya sedikit trauma dan untuk si pencuri memang kami tidak dapat berbuat apa-apa tapi ALLAH ada untuk membalasnya. Tolong doakan agar Anelia dapat melupakan kisah hitam yang menimpa dirinya," katanya dalam laman Facebooknya.

Posting tersebut sehingga kini telah mendapat lebih daripada 3,900 perkongsian dan seramai 2,900 telah memberi komen positif dan negatif terhadap kejadian tersebut.