PRK Tanjung Piai: Jangan cari calon popular semata-mata

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Parti politik yang ingin meletakkan individu berumur 18 tahun sebagai calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) perlu membuat pertimbangan secara menyeluruh dan bukannya sekadar mencari calon popular semata-mata.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dalam pemilihan calon perlu ada objektif dan bukannya mengambil pendekatan populis sahaja.

“Selain calon yang matang kita (pilih wakil rakyat) bukan memilih pengerusi kelab atau wakil kepada persatuan yang boleh berkhidmat untuk rakyat dan mampu berkomunikasi dengan pelbagai lapisan masyarakat.

“Kita nak cari orang yang terbaik, orang yang boleh jadi wakil kepada sesuatu komuniti. Rumusannya, bagi saya untuk Pas belum lagi timbul untuk meletakkan calon sedemikian. Tapi kalau parti lain nak buat terpulanglah,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai calon berusia 18 tahun dibenarkan bertanding buat pertama kali pada PRK Tanjung Piai pada 16 November.

Ia berikutan pindaan Perlembagaan Persekutuan Artikel 47 berkaitan perubahan had umur calon dari 21 tahun dikurangkan kepada 18 tahun yang sudah diwartakan dan dikuatkuasakan.

Mengulas lanjut Ahmad Samsuri berkata, beliau pelik apabila calon yang berusia 18 tahun dibenarkan bertanding tetapi tidak boleh mengundi sedangkan Dewan Rakyat telah meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun.

“Kita ingatkan semuanya dilaksanakan sekali. Jadi, saya rasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mungkin kena lihat balik daripada aspek undang-undang supaya kita tak nak kemudian hari apabila calon itu menang, tiba-tiba ada dicabar oleh mana-mana pihak.

Artikel Berkaitan:

“Kita kena lihat pelaksanaannya secara mendalam biar ‘full proof’ agar tiada masalah daripada segi undang-undang kelak,” katanya.