Calon umur 18 tahun tak sesuai, kata bekas Pengerusi SPR

Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman
Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mengundi pada usia 18 tahun masih boleh diterima namun menjadi calon bagi pilihan raya pada usia berkenaan tidak begitu sesuai.

Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berpendapat, usia paling sesuai untuk menjadi calon pilihan raya adalah pada usia 35 tahun ke atas.

“Saya uruskan pilihan raya sudah banyak kali. Saya lihat bagaimana calon membawa diri mereka.

“Bagi saya kalau tanya umur berapa patut jadi calon, saya fikir sekurang-kurangnya umur 35 tahun ke atas. Ini pendapat peribadi saya.

“Kalau umur sebegitu saya rasa boleh jadi wakil rakyat. Kalau umurnya kurang dari itu saya rasa kurang sesuai,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Sesi Libat Urus Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilhan Raya (ERC) Bersama Parti Politik di sini hari ini.

Mengulas isu tersebut dalam konteks PRK Parlimen Tanjung Piai nanti, Abdul Rashid merasakan ada sesuatu yang tidak kena sekiranya penduduk di sana memilih calon berumur 18 tahun menjadi wakil rakyat mereka.

“Kalau orang Tanjung Piai pilih calon umur 18 tahun jadi wakil rakyat saya rasa secara peribadinya memang ada sesuatu yang tidak kena.

“Untuk mengundi boleh tapi untuk jadi wakil rakyat saya rasa tidak sesuai,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: PRK Tanjung Piai 16 November

Artikel Berkaitan:

Semalam Sinar Harian melaporkan pengundian pada PRK Parlimen Tanjung Piai pada 16 November ini mencatat sejarah apabila buat pertama kalinya calon berusia 18 tahun dibenar bertanding.

Perkara itu berikutan pindaan Perlembagaan Persekutuan Artikel 47 berkaitan perubahan had umur calon dari 21 tahun dikurangkan kepada 18 tahun sudah diwartakan dan dikuatkuasakan.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun mengesahkannya pada sidang media pengumuman tarikh PRK Parlimen Tanjung Piai di Ibu Pejabat SPR di sini semalam.