Pintu skuad Harimau Malaya terbuka: Cheng Hoe

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin (kiri) bersama Cheng Hoe ketika hari kedua sesi latihan pasukan tersebut sebagai persediaan menghadapi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menjelaskan bahawa pintu pasukan kebangsaan itu sentiasa terbuka untuk semua pemain yang mempamerkan aksi yang baik.

Bagaimanapun, beliau berkata, pemain-pemain harus menepati beberapa kriteria yang ditetapkan seperti faktor umur, mampu menyerapkan cara permainan skuad itu, mempunyai bakat individu dan teknik perlawanan yang baik.

Selepas beberapa tonggak seperti Nor Azam Abdul Azih, J Partiban, Brendan Gan dan Shahrul Mohd Saad mengalami kecederaan, Cheng Hoe tidak menolak kemungkinan untuk memanggil pemain lain sekiranya perlu.

"Buat masa ini, kita nak melihat perkembangan positif daripada Nor Azam, kerana beliau telah mempamerkan aksi yang baik pada dua perlawanan sebelum ini (Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu).

"Tetapi harus diingat bahawa kita tidak boleh bergantung kepada satu-satu pemain sahaja. Yang penting, sesiapa yang diturunkan pada perlawanan nanti harus menunjukkan prestasi yang baik," katanya ketika ditemui pemberita pada hari kedua sesi latihan skuad Harimau Malaya di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras hari ini.

Mengulas lanjut, Cheng Hoe berkata, sebagai jurulatih, beliau turut mempunyai tanggungjawab untuk melahirkan bakat-bakat muda selain membimbing pemain yang sedia ada demi masa depan pasukan kebangsaan.

Walaupun mengejar keputusan positif dalam kempen pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, tetapi beliau mempunyai falsafah untuk memberikan peluang kepada pemain muda dalam pasukan itu.

"Ianya penting kerana mereka (pemain muda) merupakan masa depan. Mereka mempunyai tenaga untuk bermain, manakala pemain senior mempunyai pengalaman bermain, jadi ia satu cabaran untuk saya sebagai jurulatih membuat pilihan pemain.

"Memang betul pemain skuad Bawah 19 tahun, Luqman Hakim Shamsudin dan Mukhairi Ajmal menonjol, tapi kita masih memantau dan mereka mempunyai kejohanan penting (kelayakan Kejohanan B-19 AFC 2020) pada November ini. Mungkin pada tahun depan baru kita akan beri peluang kepada mereka," katanya.

Namun, beliau meminta pemain-pemain muda untuk terus bekerja keras kerana masa depan mereka tidak terjamin dengan bakat sahaja.

Skuad Harimau Malaya akan bertemu Sri Lanka dalam aksi persahabatan pada Sabtu malam di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebelum bertemu Vietnam di Stadium MyDinh, Hanoi dalam aksi Kumpulan G, kempen kelayakan tersebut.

Sementara itu, pemain bahagian serangan, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi bertekad untuk mempamerkan aksi terbaik pada kedua-dua aksi berkenaan, jika diberi peluang.

"Saya tidak dapat menjaringkan gol ketika diturunkan dalam kesebelasan utama pada aksi peringkat kumpulan Kejohanan AFF kerana agak gugup, tapi kali ini berlainan. Walaupun kualiti permainan Vietnam dah meningkat, tak mustahil bagi kita untuk mengatasi mereka," katanya. - Bernama