Petisyen tempoh perkhidmatan Prof Asma diteliti: Maszlee

Dr Maszlee (tengah) memotong riben pada simbolik perasmian bangunan baharu, Blok G, Universiti UCSI hari ini. -Foto Bernama
Dr Maszlee (tengah) memotong riben pada simbolik perasmian bangunan baharu, Blok G, Universiti UCSI hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, beliau akan meneliti petisyen berhubung tempoh perkhidmatan Prof Datuk Dr Asma Ismail sebagai Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM).

“Saya akan meneliti perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Anugerah Harmoni Tan Sri Omar di Universiti UCSI di sini hari ini.

Dilaporkan satu petisyen dalam talian untuk memperbaharui tempoh perkhidmatan Asma sebagai naib canselor USM telah mendapat sokongan lebih 7,000 orang dalam tempoh dua jam.

Menurut petisyen itu tempoh perkhidmatan Asma akan berakhir pada Khamis ini.

Beliau dilantik sebagai naib canselor universiti itu pada 4 Oktober 2016.

Menurut petisyen itu, Asma layak dilantik semula berikutan komitmen terhadap universiti itu dan reputasi beliau sebagai ahli akademik, pentadbir dan pemimpin yang memberi inspirasi.

Sementara itu, dalam ucapan pelancarannya, Maszlee berkata, kementerian itu memperjuangkan 'Sekolah untuk Komuniti dan Universiti untuk Masyarakat'.

“Kami percaya pelajar kita, tidak kira umur, latar belakang, jantina, bangsa atau agama adalah ejen perubahan dan perpaduan.

Artikel Berkaitan:

"Visi kami adalah sekolah dan universiti memperkasa pelajar supaya mereka tidak hanya belajar daripada teori sebaliknya menggunakan pengalaman yang mereka pelajari dalam memperbaiki komuniti mereka," katanya.

Pada majlis itu juga Maszlee menyampaikan anugerah kepada tiga kumpulan pemenang iaitu Kh'ng Yong Haw yang mendapat tempat pertama, Lee Yee Jat & Wong We Hao (kedua) and Federica Lorenza & Melissa Chew Mei Shi (ketiga).

Anugerah Harmoni Tan Sri Dr Omar adalah platform bagi memberi inspirasi kepada pelajar untuk menjadi agen perubahan sosial, perpaduan dan harmoni.

Maszlee kemudian merasmikan pembukaan Blok G, Universiti UCSI yang mempunyai sebuah gelanggang bola keranjang bertaraf dunia di tingkat 12 tempat letak kereta enam tingkat, pusat media, kelas, dewan kuliah dan restoran. - Bernama