Pemandu kereta bikin panik!

Tangkap layar Instagram amri_yasin mengenai kejadian tersebut.
Tangkap layar Instagram amri_yasin mengenai kejadian tersebut.
A
A
A

GEORGETOWN - Gara-gara tertidur selama 30 minit di dalam sebuah kereta di lampu isyarat, seorang lelaki disangka sudah meninggal dunia oleh orang awam yang melalui jalan terbabit.

Kejadian itu disedari pengguna yang melalui Jalan Pinang ke Persiaran Karpal Singh apabila kereta mewah itu tidak bergerak meskipun lampu isyarat telah bertukar kepada warna hijau.

Panik dengan keadaan itu, pengguna jalan raya termasuk pelawak dan pelakon terkenal, Zizan Razak bersama kru yang kebetulan berada di kawasan tersebut turut membantu mengejutkan lelaki berkenaan.

Rakaman video misi menyelamat berdurasi 1 minit 38 saat dimuat naik di Instagram milik jurufoto peribadi Zizan Razak, amri_yasin kini tular di media sosial.

Paparan dalam rakaman itu memperlihatkan pengguna cuba mengetuk tingkap dan pintu kereta serta menggoncangkan badan kereta, namun tiada respons daripada lelaki berkenaan.

Selepas beberapa minit usaha itu gagal, orang awam bertindak memecahkan cermin tingkap pintu belakang menggunakan tukul besi sebelum berjaya membuka pintu pemandu.

“Kejut, goncang kereta tak jalan so terpaksa ambil jalan terakhir pecahkan cermin kereta,” kata amir_yasin di entri Instagramnya.

Pengguna yang lain terus mengejutkan lelaki itu dan ternyata dia hanya tertidur malah dia juga tergamam dikerumuni orang ramai sebaik terjaga.

Rata-rata netizen memuji tindakan pantas orang ramai yang peka terhadap insiden tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Tahniah pembantu, menyelamatkan nyawa. Kalau tidur tingkap tak buka sikit pun boleh membawa maut,” kata Wannur Izzatiizyan menerusi komen di Instagram amri_yasin.