X

Kindly register in order to view this article
!

PRK Tanjung Piai: Amanah akui PH sukar kekal kemenangan

Mohamad ditemui media selepas Majlis Sekalung Budi Media Pertahanan di sini hari ini. -Foto Sinar Harian/Rosli Talib
A
A

KUALA LUMPUR - Parti Amanah Negara (Amanah) mengakui Pakatan Harapan (PH) sukar untuk mengekalkan kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai pada 16 November ini.

Presidennya, Mohamad Sabu berkata, PH dijangka akan menghadapi kesukaran kerana pengundi luar dijangka tidak pulang untuk mengundi pada PRK berbanding ketika Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan.

"Pengundi-pengundi luar sama ada bekerja di Singapura, Australia dan tempat tempat yang lain mereka kurang berminat sebab tidak berlaku pertukaran kerajaan.

"Kalau PRU mereka sanggup belanja sendiri untuk pulang walaupun habis RM5,000 hingga RM6,000 tetapi PRK kita lihat misalnya seperti yang berlaku di Teluk Intan sebelum ini.

"Tempat yang DAP agak kuat tetapi kalah dalam PRK sebab banyak yang tidak pulang sebab mereka menganggap siapa menang pun tidak dapat mengubah kerajaan," katanya.

Mohamad yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Sekalung Budi Media Pertahanan di Hotel Istana hari ini.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, akibat serangan jantung pada 21 September lalu.

Terdahulu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh mengundi bagi PRK tersebut ditetapkan pada 16 November depan.

Pengerusinya, Datuk Azhar Harun berkata, hari penamaan calon pula ditetapkan pada 2 November manakala hari mengundi awal pada 12 November.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus