Kor Ming minta Najib taubat, henti sebar berita palsu

Nga Kor Ming berucap pada Majlis Persidangan Serantau Kesatuan Antara Parlimen (IPU)-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini. -Foto Bernama
Nga Kor Ming berucap pada Majlis Persidangan Serantau Kesatuan Antara Parlimen (IPU)-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming meminta Datuk Seri Najib Tun Razak bertaubat dan tidak menggunakan berita palsu untuk menyerangnya mahupun parti DAP.

Kor Ming berkata, tindakan undang-undang turut akan diambil terhadap bekas perdana menteri itu, selain laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang telah dibuatnya.

“Kami akan mendapatkan nasihat undang-undang. Penasihat undang-undang saya akan mengambil tindakan sewajarnya. Saya harap beliau (Najib) akan bertaubat dan kembali ke pangkal jalan sebelum terlambat,” katanya selepas majlis Persidangan Serantau Kesatuan Antara Parlimen (IPU)-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini.

Kor Ming mengulas tindakan Najib yang menggunakan hantaran akaun palsu yang didakwa cuba merosakkan namanya serta menghasut rakyat membencinya dan parti.

Najib menerusi perkongsian di Facebook didakwa menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil tindakan terhadap Pengerusi DAP Perak itu kerana mengajak orang Cina yang tidak puas hati membuat bantahan terhadap Sultan Selangor.

Ia susulan keputusan tidak membenarkan papan tanda jalan dwibahasa digunakan di Selangor.

Namun Kor Ming dalam laporan berita semalam menafikan beliau dan DAP terlibat dalam membuat hantaran menghasut masyarakat Cina untuk membenci Sultan Selangor.

Kor Ming turut menegaskan akaun menggunakan nama ‘Nga Kor Ming Super Fans Page’ merupakan akaun palsu yang menyamar mewakili dirinya dan DAP.

Artikel Berkaitan:

Berhubung teguran Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengenai sebuah sekolah di Ayer Tawar, Manjung, Perak yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan dalam kain rentang di majlis yang dihadirinya, Kor Ming berkata beliau telah menjelaskan perkara itu kepada Maszlee menerusi kiriman mesej.

“Saya menerima saranan (Maszlee) dengan hati terbuka. Saya menerima jemputan dari sekolah itu dan kain rentang itu sebenarnya diletakkan oleh seorang bekas pelajar, bukan oleh sekolah..dan sebagai SRJK (sekolah rendah jenis kebangsaan), walaupun dalam bahasa Mandarin tapi satu perkara yang pasti adalah semua sekolah kerajaan menghormati bahasa kebangsaan dan bahasa kebangsaan adalah mata pelajaran wajib.

“Tetapi dari segi Perlembagaan Persekutuan, jangan kita nafikan semua aliran sekolah berhak belajar bahasa ibunda masing-masing dan hak ini telah dijamin oleh Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Maszlee tegur kain rentang sekolah tidak guna bahasa kebangsaan

Pada Ahad lalu, Maszlee memberi teguran menerusi hantaran di ruangan komen Instagram milik Kor Ming dan menegaskan poster berkenaan perlu ditulis menggunakan bahasa kebangsaan memandangkan jata negara turut digunakan.

Gambar kain rentang itu dimuat naik oleh Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan di Instagram peribadinya sebagai makluman bahawa beliau akan mengadakan lawatan dan menyampaikan bantuan kepada sekolah itu. - Bernama