Misteri gelandangan bersuara emas

Zamourka dirakam ketika membuat persembahan di stesen kereta api bawah tanah di Koreatown, Los Angeles.
Zamourka dirakam ketika membuat persembahan di stesen kereta api bawah tanah di Koreatown, Los Angeles.
A
A
A

LOS ANGELES - Sebuah video dimuat naik Jabatan Polis Los Angeles (LAPD) Amerika Syarikat (AS) yang memaparkan seorang wanita gelandangan menyanyi opera di sebuah stesen kereta api bawah tanah menjadi tular sehingga ada yang mencadangkan dia membuat persembahan di pentas besar.

Video rakaman seorang anggota LAPD yang menyaksikan seorang wanita menyanyikan lagu Puccini aria di platform stesen kereta api bawah tanah di Koreatown Los Angeles itu mendapat hampir 300,000 tontonan sejak dimuat naik ke laman Twitter Khamis lalu.

Misteri tentang penyanyi yang sering memukau penonton dengan persembahannya itu terjawab apabila wanita itu rupa-rupanya seorang ahli muzik yang menjadi gelandangan selepas tidak mampu melunaskan bil perubatan.

Emily Zamourka, 52, menjadi tular selepas seorang pegawai polis merakam nyanyiannya di stesen kereta api bawah tanah di Koreatown, Los Angeles (LA) dan memuat naik di Twitter.

Zamourka ketika ditemu bual media.
Zamourka ketika ditemu bual media.

Dalam rakaman itu, Zamourka menyanyikan sebuah lagu opera dengan suara soprano sambil menarik troli yang dipenuhi dengan plastik dan kotak.

Menurut rakan yang mengenali wanita itu, bil perubatan yang tinggi dan kehilangan biola bernilai AS$10,000 (RM42,000) akibat dicuri menjadikan dia seorang gelandangan.

Difahamkan, ahli muzik berbakat itu berpindah dari Rusia ke Amerika Syarikat (AS) 24 tahun lalu dan terpaksa tinggal di jalanan selepas mengalami masalah kesihatan yang serius.

Artikel Berkaitan:

Lebih menyedihkan, biolanya dicuri ketika dia sedang membuat persembahan di tepi jalan di LA tiga tahun lalu.

"Itu sumber pendapatan saya. Biola itu adalah segala-galanya untuk saya.

"Ketika itulah saya jadi gelandangan apabila tidak mampu bayar bil perubatan dan sewa rumah sehingga saya diusir," kata Zamourka.

Tanpa biola kesayangannya, Zamourka mula menyanyi untuk penumpang kereta api bawah tanah.

"Saya tidur beralaskan kotak di tempat letak kereta atau di mana-mana sahaja. Ada juga orang kasihankan saya tetapi saya tidak mahu menjadi beban kepada sesiapa," katanya lagi.

Kini Zamourka berharap perhatian yang diperoleh daripada orang ramai dapat membantu membawanya keluar dari hidup gelandangan dan dia boleh kembali bermain biola.

"Saya akan sangat berterima kasih kepada sesiapa yang cuba membantu saya untuk keluar daripada kehidupan sekarang agar boleh memiliki tempat tinggal dan instrumen sendiri," katanya. - Agensi