TH jual RM2.6B ekuiti: Minta Mujahid beri penjelasan

Asyraf
Asyraf
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda UMNO mendesak Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof segera memberi penjelasan berkenaan penjualan aset-aset strategik Lembaga Tabung Haji (TH) termasuk keseluruhan pegangan saham TH dalam Tenaga Nasional Berhad (TNB) bernilai RM1.8 bilion.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan penjualan keseluruhan saham TH dalam TNB amat mengejutkan kerana syarikat utiliti tenaga elektrik negara itu bukanlah syarikat bermasalah bahkan salah sebuah syarikat paling stabil dari segi keuntungannya setiap tahun.

Malah katanya, TNB sentiasa membayar dividen yang tinggi kepada TH setiap tahun.

“Lebih pelik apabila dijual ketika harga saham TNB adalah rendah kerana Bursa Malaysia berkedudukan tercorot berbanding bursa-bursa negara seantero dunia yang lain,” tegasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, Pemuda UMNO sekali lagi mendesak menteri berkenaan memberikan penjelasan segera sebelum semakin ramai pendeposit hilang kepercayaan kepada TH.

“Sehubungan dengan ini juga Pemuda UMNO inginkan kepastian benarkah wang pendeposit dalam TH juga merosot teruk daripada RM74 bilion kepada RM69 bilion sahaja ketika ini," katanya.

Dalam perkara lain, Asyraf turut menasihati agar Naib Presiden Parti Amanah Negara itu untuk kembali fokus kepada tugas hakiki dan jangan hanya sibuk menyerang pembangkang dengan pelbagai kenyataan pelik-pelik berhubung penyatuan ummah dan muafakat nasional.

Artikel Berkaitan: