Bomba perluas program libat masyarakat

Dr Alias (barisan tengah, dua dari kanan) dan Amer (barisan tengah, tiga dari kanan) bersama Sahabat Bomba Daerah Marang.
Dr Alias (barisan tengah, dua dari kanan) dan Amer (barisan tengah, tiga dari kanan) bersama Sahabat Bomba Daerah Marang.
A
A
A

MARANG - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan memperluaskan program melibatkan masyarakat melalui Sahabat Bomba dan Bomba Komuniti di seluruh negara dalam membantu menghadapi kes kecemasan dan bencana.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Amer Yusof berkata, strategi itu bukan sahaja meningkatkan kerjasama dengan masyarakat malah ia mampu membantu menghadapi kes kecemasan dengan lebih pantas dan efisien.

Menurutnya, buat masa ini Sahabat Bomba sudah diperkenalkan di Terengganu dengan keanggotaan seramai 65 orang di Dungun dan Marang.

“Program Sahabat Bomba misalnya hasil inisiatif JBPM Terengganu dan kita lihat ia perlu dikembangkan kerana selain memberikan maklumat awal, mereka membantu pihak jabatan dalam menghadapi situasi-situasi yang besar seperti kebakaran tanah gambut, musim banjir dan sebagainya.

“Kebanyakan Sahabat Bomba ini terdiri daripada badan-badan bukan kerajaan dan kelab-kelab seperti 4x4, radio amatur dan sebagainya sekali gus dapat meringankan tugas jabatan ketika berdepan dengan situasi kecemasan dan menyelamat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Kempen Keselamatan Kebakaran ‘1 Daerah 1 Kempen’ Daerah Marang bertempat di Dewan Majlis Daerah Marang di Kampung Paya di sini hari ini.

Dr Alias (empat dari kanan) dan Amer (lima dari kanan) pada Majlis Pelancaran Sahabat Bomba Daerah Marang.
Dr Alias (empat dari kanan) dan Amer (lima dari kanan) pada Majlis Pelancaran Sahabat Bomba Daerah Marang.

Artikel Berkaitan:

Program itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Dr Alias Razak dan turut dihadiri Pengarah JBPM Terengganu, Mohamad Shoki Hamzah.

Mengulas lanjut, Amer berkata, berbeza dengan Sahabat Bomba, Bomba Komuniti lebih menumpukan kepada kawasan yang mempunyai komuniti ramai seperti pangsapuri dengan aktiviti yang lebih berfokus.

“Setakat ini kita sudah ada 2,105 pasukan Bomba Komuniti dengan keahlian 26,590 ahli seluruh negara. Secara tidak langsung, kita boleh sampaikan mesej yang lebih jelas dan cepat kepada masyarakat melalui Sahabat Bomba dan Bomba Komuniti.

“Selain membantu menyalurkan maklumat kepada jabatan, kita juga dedahkan mereka dengan ilmu mengenai risiko kebakaran, bagaimana untuk mengelak kebakaran dan cara untuk menyelamatkan diri serta bagaimana cara nak memadamkan kebakaran,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Amer berkata, pihak bomba mengharapkan agar kes kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim akan dilaksanakan berteraskan prinsip keadilan dan individu yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.

“Apabila kes itu dianggap sebagai kes jenayah, kita serahkan sepenuhnya tanggungjawab kepada pihak berkaitan, khususnya pihak polis untuk jalankan siasatan, seterusnya kebenaran dapat ditegakkan,” katanya.