580,000 pelajar mula sesi persekolahan di Johor

Aminolhuda
Aminolhuda
A
A
A
JOHOR BAHRU - Seramai 580,000 pelajar serta 50,000 guru kembali melalui proses pembelajaran dan pengajaran di 1,187 buah sekolah di Johor pada sesi persekolahan yang bermula hari ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan berkata, daripada jumlah keseluruhan bagi pelajar, seramai 55,218 orang merupakan murid tahun satu.

Menurutnya, pada masa sama, dijangka 21,500 orang kanak-kanak akan mula memasuki prasekolah di 685 buah sekolah rendah seluruh negeri ini.

"Pada tahun ini, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor akan menguruskan operasi 907 buah sekolah rendah, 280 buah sekolah menengah dan 11 buah Pejabat Pendidikan Daerah.

"Tidak ada sekolah baru yang memulakan operasinya pada hari ini. Bagaimanapun, dijangka sebanyak enam buah sekolah akan dibuka sepanjang tahun ini iaitu lima buah sekolah menengah dan sebuah sekolah rendah," katanya di sini hari ini.
Artikel Berkaitan:


Katanya, semua institusi pendidikan itu diuruskan operasinya bagi memenuhi keperluan pendidikan kepada lebih kurang 327,000 murid sekolah rendah dan 250,000 pelajar sekolah menengah.

"Mereka akan dididik dan dibimbing oleh 28,102 guru sekolah rendah dan 21,667 guru sekolah menengah dengan bantuan 7,533 anggota kumpulan pelaksana.

"Bilangan murid yang begitu ramai hanyalah 10 peratus daripada populasi penduduk negeri Johor, tetapi mereka adalah 100 peratus penghuni negeri ini yang akan datang," katanya.