Keranda emas 'terbang' ke Mesir

Keranda Nedjemankh yang bersalut emas akan dihantar pulang ke Mesir.
A
A

NEW YORK - Sebuah keranda bersalut emas yang menjadi bahan pameran di Muzium Seni Metropolitan New York, Amerika Syarikat bakal dihantar pulang ke Mesir selepas antikuiti itu disahkan sebagai artifak dicuri.

Muzium berkenaan membeli keranda Nedjemankh daripada seorang pengedar seni di Paris, Perancis pada 2007 dengan harga sekitar AS$4 juta (RM16.7 juta).

Artifak itu kemudian dijadikan bahan pameran utama di muzium berkenaan.

Bagaimanapun, artifak itu tidak lagi dipamerkan sejak penghujung Februari lalu dan pihak muzium mengemukakan permohonan maaf kepada Mesir.

Penyiasat berkata, keranda itu diseludup keluar dari Mesir melalui Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jerman dan kemudian tiba di Perancis.

Katanya, pihak muzium diperdaya sindiket penyeludupan artifak yang mengeluarkan dokumen palsu termasuk lesen palsu eksport Mesir yang kononnya dikeluarkan pada 1971. - Agensi