X

Kindly register in order to view this article
!

Lombong bijih besi haram diserbu

Lombong bijih besi yang dikesan beroperasi secara haram di Hutan Simpan Ibam, Rompin. Gambar kecil: Mohd Hizamri -Foto Ihsan Jabatan Perhutanan Pahang
A
A

KUANTAN - Jabatan Perhutanan Pahang dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) berjaya mengesan lombong bijih besi yang beroperasi secara haram di Hutan Simpan Ibam, Rompin dua hari lalu.

Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, dalam operasi itu pihaknya menyita 11 jentera pelbagai guna yang dipercayai milik sebuah syarikat yang menjalankan aktiviti perlombongan haram itu.

“Kita telah merampas jentera berat iaitu dua unit mesin pengisar batu, empat lori pengangkut dan lima jengkaut.

“Selain itu dua motosikal dan masing-masing satu pacuan empat roda jenis Hilux dan kereta Proton Wira yang digunakan untuk aktiviti perlombongan secara haram juga dirampas.

"Jentera berat yang disita akan disimpan di pusat penyimpanan di Ladang Kemasul, Mentakab dan Kuantan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, operasi lombong bersepadu itu diadakan secara bersama membabitkan seramai 78 anggota penguatkuasa iaitu Jabatan Perhutanan Pahang, Pejabat Hutan Daerah Rompin, PTG Pahang, PTG Rompin, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bahagian Mekanikal Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang.

Mohd Hizamri berkata, Lokasi perlombongan haram itu dikesan kira-kira 15 kilometer dari Ibam ketika melalui jalan tanah merah dan ketika operasi serbuan dilakukan aktiviti mengorek batu bukit sedang rancak dilakukan.

Namun katanya, ada beberapa individu yang juga pemandu lori dan jengkaut melarikan diri ke kawasan hutan dan gagal dikesan pihaknya selepas mereka menyedari kehadiran pihak berkuasa.

"Kita berjaya menahan seorang lelaki berusia 50 tahun yang dipercayai bekerja sebagai pengurus syarikat lombong.

"Lelaki itu akan disiasat dan akan dikenakan tindakan undang-undang kerana kesalahan berada dalam Hutan Simpan Ibam tanpa permit,” katanya.

Mohd Hizamri berkata, jabatan tidak akan berkompromi dengan pihak yang melakukan aktiviti perlombongan dalam kawasan hutan simpan dan tindakan tegas menanti pihak terbabit mengikut Akta Perhutanan Negara 1984.

Katanya, menerusi operasi bersepadu sahaja dapat melumpuhkan semua aktiviti perlombongan biji besi yang begitu terkenal di daerah ini.

"Operasi yang sama sebelum ini turut diadakan di Raub dan Lipis yang terkenal dengan lombong emas," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!