Ternakan kupang sebatu jana pendapatan nelayan

Foto - Bernama
Foto - Bernama
A
A
A
JASIN - Projek Ternakan Kupang Sebatu yang diusahakan oleh nelayan sekitar daerah ini bukan sahaja mampu menambah punca pendapatan mereka tetapi turut menyumbang dalam meningkatkan ekonomi penduduk setempat.

Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Jasin, Yusman Yusoff berkata, projek ternakan kupang merupakan salah satu usaha persatuan untuk membantu dan membela nasib nelayan.

"Projek yang diusahakan sepenuhnya oleh persatuan sejak Julai tahun lalu itu berjaya mengeluarkan hasil kira-kira tujuh tan dengan nilai jualan RM43,000.

"Hasil kupang di sini mendapat sambutan yang menggalakkan, rata-rata pembeli memberitahu bahawa isi Kupang Sebatu lebih enak dan manis berbanding kupang di tempat lain," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, projek yang diusahakan sepenuhnya persatuan nelayan kawasan itu menerima peruntukkan RM250,000 yang disalurkan oleh kerajaan menerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi meningkatkan sosio ekonomi nelayan.

Yusman berkata, projek ternakan kupang itu diusahakan di kawasan seluas 8.1 hektar membabitkan jarak dua kilometer dari kawasan pinggir pantai di Jeti Pengkalan Nelayan Sebatu.

Katanya, sehingga kini terdapat 34 panggar dipasang di kawasan itu berbanding 12 panggar ketika projek mula dilaksanakan, dengan setiap satu panggar mempunyai 600 hingga 800 tali.

"Setiap tuaian kupang mengambil masa hingga lapan bulan untuk matang dan bagi satu tali juga mampu menghasilkan berat anggaran 13 hingga 18kg dengan saiz berukuran 6.3 hingga 8cm,” katanya.

Beliau berkata, hasil Kupang Sebatu akandi bawa ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2018 di Serdang pada 22 November hingga 2 Disember. - Bernama
Artikel Berkaitan: