Pencemaran bau Loji Semenyih: 372,031 akaun terjejas

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 372,031 akaun pelanggan di Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang terlibat gangguan bekalan air ekoran insiden pencemaran bau di sumber air mentah Sungai Semenyih hari ini.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Abdul Raof Ahmad berkata, Loji Rawatan Air Sungai Semenyih terpaksa dihentitugas sepenuhnya dan akan menyebabkan gangguan di 204 kawasan di Selangor.

Menurutnya, insiden pencemaran tersebut kali keempat berlaku tahun ini yang menyebabkan beberapa loji utama terpaksa dihentitugas dan menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual berskala besar melibatkan kawasan yang luas.

“Pihak kami telah beberapa kali membawa isu pencemaran air mentah ini untuk perhatian pihak berkuasa dan kebimbangan kami sekiranya isu pencemaran air mentah ini tidak dibendung akan melibatkan gangguan bekalan air kepada pengguna.

“Unit Pasukan Pemantau Sungai Air Selangor (Paskal) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah berjaya mengesan punca pencemaran yang berpunca dari Loji Rawatan Kumbahan di Bandar Mahkota dan meminta pihak yang berkenaan untuk mengambil tindakan segera menghentikan pencemaran ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, tempoh loji akan beroperasi semula dan pemulihan bekalan tidak dapat ditentukan buat masa ini dan bergantung kepada tahap pencemaran.

Jelasnya, Air Selangor akan mengeluarkan hebahan dan makluman serta status terkini dari semasa ke semasa dan mengambil segala tindakan perlu bagi mengurangkan impak gangguan kepada pelanggan.

“Pengguna boleh merujuk aplikasi telefon bimbit Air Selangor atau laman sesawang www.airselangor.com untuk maklumat yang akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.

Artikel Berkaitan: